Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini, mengambil petunjuk daripada prestasi kukuh di Wall Street pada Isnin.

Pada 9.05 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merekodkan 0.50 mata lebih tinggi kepada 1,742.79 berbanding 1,742.29 pada penutupan semalam.

Berdasarkan kedudukan pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 147 berbanding 75 manakala 186 kaunter tidak berubah, 1,407 tidak diniagakan dan 19 lagi digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 127.64 juta saham bernilai RM48.61 juta.

Dalam notanya, AllianceDBS Research berkata analisis keseluruhan ke atas tindakan pasaran tempatan pada Isnin menunjukkan kuasa membeli lebih lemah berbanding tekanan jualan.

Oleh itu, FBM KLCI berkemungkinan didagangkan di bawah paras 1,741.43 hari ini, katanya.

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank dan Tenaga masing-masing naik dua sen kepada RM9.27 dan RM14.84, PBBank susut dua sen kepada RM20.46, CIMB turun satu sen kepada RM6.20 dan Axiata tidak berubah pada RM5.44.

Dalam kalangan kaunter aktif, ATTA menokok satu sen kepada 1.5 sen, JAG menambah setengah sen kepada 14.5 sen, Hibiscus meningkat 1.5 sen kepada 74 sen dan EA Holdings tidak berubah pada 4.5 sen.

Indeks FBM Emas menambah 9.13 mata kepada 12,593.94, Indeks FBMT 100 meningkat 7.31 mata kepada 12,226.80, FBM 70 meningkat 23.48 mata kepada 15,575.85, Indeks FBM Emas Shariah naik 9.65 mata kepada 13,062.45 namun FBM Ace turun 3.22 mata kepada 6,833.22.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan naik 23.29 mata kepada 16,311.70, Indeks Perusahaan meningkat 0.43 mata kepada 3,177.42 manakala Indeks Perladangan turun 19.03 mata kepada 8,049.84.

- Bernama