Lim iringi Najib, Rosmah lawat mangsa banjir
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mengketepikan perbezaan politiknya dengan kerajaan negeri Pulau Pinang dengan melawat negeri yang dilanda banjir paling treruk dalam sejarahnya.
Ketibaan perdana menteri bersama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai disambut oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
Lim dalam catatannya di Facebook, menulis Najib kemudian diberi taklimat mengenai punca kejadian serta langkah-langkah jangka pendek bagi mengatasi masalah itu daripada Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran negeri, Sabri Abdul Mulok.

Hadir sama pada taklimat tertutup itu adalah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Farizan Darus; Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng yang juga ADUN Padang Lalang; Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong dan Ahli Parlimen Permatang Pauh merangkap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Perdana Menteri seterusnya bergerak ke Kampung Tanjung Putus untuk meninjau keadaan mangsa yang terjejas di kawasan tersebut.
Zahid kagum
Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menghabiskan masa melawat mangsa banjir vmenzahirkan perasaan kagumnya terhadap kerjasama semua pihak di Pulau Pinang dan Kedah dalam menguruskan bencana di dua negeri berkenaan.
Katanya, tanpa kerjasama itu tidak mungkin pihak terbabit dapat menangani bencana itu dengan baik terutama dalam memastikan kebajikan mangsa banjir terjamin.
Beliau menyebut kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan, kerjasama agensi negeri dan Persekutuan, serta kerjasama baik antara semua NGO sebagai antara faktor utama kejayaan itu.
Jumlah mangsa berkurangan
Sementara itu, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat penempatan di empat daerah di Pulau Pinang menunjukkan penurunan sedikit pagi ini iaitu 6,080 orang melibatkan 1,572 keluarga berbanding malam tadi seramai 6,243 mangsa daripada 1,588 keluarga.
Jurucakap bilik gerakan banjir polis berkata sehingga awal pagi ini, daerah Seberang Perai Utara (SPU) masih mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi berbanding kawasan lain iaitu 3,955 orang daripada 965 keluarga.
"Jumlah itu masih sama dengan bilangan mangsa malam tadi dan beberapa jalan di kawasan itu masih ditutup antaranya Jalan Lahar Yooi-Sungai Dua, Lahar Yooi-Padang Menora, Jalan Pokok Tampang dan Jalan Padang Tonsun," katanya, hari ini.

Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) mencatatkan 1,913 mangsa membabitkan 546 keluarga, daerah Seberang Perai Selatan (SPS) 191 orang daripada 53 keluarga dan 21 mangsa daripada lapan keluarga di daerah Timur Laut.
Jurucakap itu berkata banjir di daerah Timur Laut semakin surut dan kemungkinan mangsa yang berada di pusat pemindahan akan balik ke rumah masing-masing hari ini.
"Semua mangsa banjir di empat daerah itu ditempatkan di 41 pusat penempatan dan keadaan banjir di SPU, SPT serta SPS juga semakin surut," katanya.
Keadaan cuaca ketika ini di bahagian Seberang Perai mendung manakala di bahagian pulau adalah cerah.
Hampir keseluruhan kawasan di Pulau Pinang terjejas akibat banjir dengan beberapa kawasan ditenggelami air antara 0.2 meter dan satu meter, diikuti angin kencang dan hujan lebat sejak Sabtu lepas yang turut menumbangkan puluhan pokok.
Hingga kini, kejadian banjir yang dikatakan terburuk di negeri ini telah meragut tujuh nyawa.
Cuaca semakin baik
Di Alor Setar, jumlah mangsa banjir di Kedah setakat 8 pagi ini menurun kepada 982 orang berbanding 2,337 orang seperti yang direkodkan malam tadi.
Pengarah Pertahanan Awam Negeri Lt Kol (PA) Mohd Zul Khairi Shamsuddin berkata jumlah itu dijangka terus berkurangan berikutan keadaan cuaca yang semakin baik dan lebih ramai mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
Setakat 8 pagi ini, kesemua mangsa daripada 271 keluarga ditempatkan di 15 pusat pemindahan di Kuala Muda, Yan, Kulim, Baling, Bandar Baharu dan Pendang.
Di Kuala Muda, sembilan pusat pemindahan masih dibuka iaitu di Dewan Kampung Bukit Belah Batu Dua yang menempatkan sembilan orang, Dewan Taman Bedong Jaya (15) dan surau Taman Malinja (15).
Selain itu, surau Kampung Jawa (10), Dewan Kampung Bujang (86), Dewan Kampung Sungai Pial (174), surau Kampung Jilid 4/5 (61), Dewan Taman Setia Budi (61) dan surau Kampung Lebai Ali dengan sembilan mangsa.
Di Kulim pula dua pusat pemindahan dibuka iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Merbau Pulas (121) dan surau Teluk Bina seramai 42 mangsa.
Sementara itu, sebuah pusat pemindahan dibuka masing-masing di Yan di surau Kampung Kepala Bukit yang menempatkan 79 mangsa, di Baling di Masjid Kuala Bakong (114), di Pendang di Dewan Seminar seramai 156 orang dan SK Selama di Bandar Baharu dengan 30 mangsa.
Sebanyak 29 pusat pemindahan ditutup berbanding 22 yang direkodkan malam tadi selepas keadaan banjir semakin surut di beberapa kawasan di daerah terbabit.

