Polis gerak bantu 35 terkandas di Bukit Bendera
Seramai 35 orang, termasuk 10 warga emas dan pelacong tempatan dilaporkan masih terkandas di kaki Bukit Bendera akibat tanah runtuh, sejak Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar, dalam satu kenyataan berkata semua mangsa masih belum dapat diselamatkan berikutan laluan ke kawasan kaki bukit yang terputus.
"Polis dengan bantuan semua agensi akan cuba membawa mereka turun dengan berjalan kaki kerana semua akses kenderaan tidak boleh dilalui akibat tanah runtuh,” katanya sambil menambah operasi itu akan digerakkan segera.
Menurut beliau, pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga akan membuat pemantauan dengan helikopter bagi meninjau dan membantu sekiranya misi membawa turun menggunakan laluan mendaki itu gagal.
Hujan lebat berterusan lebih 17 jam sejak Ahad lalu, dikatakan memburukkan lagi keadaan banjir di kebanyakan kawasan di Pulau Pinang. Ini menyebabkan air naik mendadak dan melumpuhkan sebahagian besar kawasan di Georgetown dan Seberang Perai.
Khamis lalu, kerajaan negeri memaklumkan sebanyak 119 kejadian banjir kilat direkodkan berlaku di negeri itu, sejak 2013 hingga 15 Oktober lalu.
Sebanyak 22 kali dicatatkan pada 2013; 20 (2014); 26 (2015); 30 (2016) dan 21 kes sama direkodkan sehingga 15 Oktober lalu.

