Kerajaan Persekutuan digesa memberi penjelasan mengapakah bajet untuk membeli ubat-ubatan dikurangkan walaupun hasil Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) meningkat setiap tahun.

Anggota Parlimen Kulai Teo Nie Ching berkata sejak GST diperkenalkan pada 2015, bajet untuk membeli ubat-ubatan mula dikurangkan sehingga kini, berbeza dengan tahun sebelumnya iaitu di antara 2010 hingga 2014.

"Bukan lagi rahsia bajet pembekalan ubatan ini dikurangkan. Namun, ia bukanlah perkara biasa kerana pada 2010 hingga 2014, bajet perubatan dinaikkan sekurang-kurangnya 10 peratus setiap tahun.

"Bermula 2015, bajet untuk membeli ubat-ubatan dikurangkan, walaupun berlakunya peningkatan pesakit yang hadir ke hospital kerajaan disebabkan peningkatan kos sara hidup," katanya dalam sidang media di parlimen, hari ini.

Pada 2015, bajet pembelian ubat-ubatan dikurangkan 2.58 peratus iaitu sebanyak 3.1 juta.

Penurunan jumlah itu juga dapat dilihat dalam bajet 2016, iaitu sebanyak 9.28 peratus dan turun kepada 3.78 peratus pada 2017.

Sebelum ini Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz berkata jumlah hasil bersih kutipan cukai GST bagi tempoh 1 Januari 2017 hingga 30 September 2017 adalah sebanyak RM29.81 bilion.

Pada 2016, Jabatan Kastam Diraja Malaysia menyatakan bahawa kutipan cukai GST adalah sebanyak RM41.2 bilion sepanjang 2016.

Sementara itu, Teo dalam sidang medianya memetik laporan portal FMT mengenai kekurangan dana menyebabkan beberapa beberapa hospital kerajaan menggunakan semula alat perubatan pakai buang sekaligus mendedahkan risiko yang lebih besar kepada pesakit.

"KKM juga gagal menafikan tuduhan yang dibuat dalam laporan itu bahawa pesakit diminta untuk membeli ubatan sendiri dan sebagainya," katanya.

Hospital kerajaan turut berdepan masalah membekalkan ubat kepada pesakit, dan mereka diminta mendapatkan bekalan ubat dari luar.

Selain itu, pesakit juga diminta melakukan beberapa ujian di luar, disebabkan kekurangan dana dan membawa balik laporan ujian itu untuk rujukan hospital.