Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Azmin tak sebut langsung isu DEIG semasa Bajet 2018'

Wakil rakyat Barisan Nasional (BN) Selangor hari ini mempersoalkan sikap berdiam diri Menteri Besar, Datuk Seri Azmin Ali berhubung penubuhan Kumpulan Pelaburan Darul Ehsan (DEIG).

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Budiman Zohdi berkata, Azmin pada pembentangan bajet sebelum ini menjadikan isu DEIG sebagai topik utama namun bukan pada pembentangan Bajet Selangor 2018.

"Untuk beberapa belanjawan sebelum ini menteri besar tidak pernah terlepas sebut soal DEIG tetapi Bajet 2018 tidak menyebut langsung soal DEIG.

"Malah menteri besar sendiri pernah sebut tidak pernah gentar siasatan berkaitan DEIG, namun tidak pada bajet kali ini," kata Budiman ketika sesi perbahasan pembentangan Bajet Selangor 2018 di Sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam, hari ini.

Mengulas lanjut, Budiman turut mempersoalkan status penstrukturan aset Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) bagi membolehkan DEIG memulakan operasi.

Budiman berkata, kerajaan negeri juga membisu dengan tidak memaklumkan perkembangan penubuhan DEIG itu sendiri.

"Bejet 2016 yang disebut pada tahun 2015, menteri besar sebut Perbadanan Menteri Besar (MBI) dalam proses rasionalisasi aset bertujuan mengurus aset milik MBI dan DEIG akan beroperasi sepenuhnya setelah usaha memperkemaskan urustadbir dibuat.

"Pada Bajet 2017 yang disebut 2016, menteri besar sebut DEIG akan diperkukuh menjadi agenda sosial dan anak syarikat mesti mendatangkan keuntungan untuk tujuan SCR (Tanggungjawab sosial korporat) rakyat negeri Selangor.

"Pada hari ini apakah status penstruktur aset, apakah sebenarnya berlaku, sebab saya juga terima rungutan daripada peniaga-peniaga industri kecil, DEIG juga akhirnya cuba untuk menidakkan usaha kontraktor kecil. Saya pohon penjelasan dari pihak kerajaan negeri," katanya.

Azmin yang juga ADUN Bukit Antarabangsa dalam ucapan penggulungan Bajet Selangor 2016 memaklumkan bahawa kerangka struktur operasi DEIG telah siap untuk diberi kepada penasihat undang-undang negeri.

Ia katanya bertujuan untuk mendapatkan maklum balas perundangan sebelum dibahaskan di dewan.

Bagaimanapun pada Mac 2016, BN Selangor mendakwa kerajaan negeri mungkir janji apabila gagal membawa usul penubuhan DEIG ke sidang DUN untuk dibahaskan.

 

Lihat Komen
ADS