Ketua Umno bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos hari ini menarik balik kenyataan yang dibuatnya pada 13 Vovember tahun lalu yang mendakwa dirinya diserang ‘budak’ Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin.
Penarikan balik itu dibacakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di hadapan Hakim S Nantha Balan semasa proses mediatasi hari ini.
“Saya telah mengeluarkan kata-kata terhadap plaintiff (Zuraida) dalam keadaan marah, maka saya kesal, dengan kata-kata tersebut.
“Saya dengan ini ingin menarik kembali kata-kata yang saya hamburkan ketika situasi tegang itu di Ampang Point Mall kepada YB Zuraida Kamaruddin.
“Seterusnya, saya juga mengaku janji untuk tidak mengulangi sebarang kenyataan berkenaan,” katanya.
Hakim juga mencatat jumlah, yang tidak disebutkan, yang bakal dibayar kepada Zuraida. Zuraida memfailkan saman fitnah terhadap Jamal pada 17 November tahun lalu.
Pada 13 November tahun lalu, Jamal berdarah pada hidungnya selepas mendakwa dirinya diserang dan ditumbuk dalam satu kejadian di Ampang Point.
Kejadian berlaku ketika Jamal bersama kumpulan Baju Merah mengekori Zuraida yang sedang mempromosikan perhimpunan BERSIH5 di pusat beli-belah itu.
Mereka kemudiannnya bergelut dan Jamal menyalahkan anggota polis kerana didakwa menumbuknya. Beliau kedengaran seperti berkata “polis tumbuk saya”.
Walau bagaimanapun, Jamal pada sidang akhbar kemudian dilaporkan berkata seorang daripada "budak Zuraida" telah memukulnya dan beliau yang jelas tidak berpuas hati dengan insiden itu dan memberitahu akan bertindak balas.