Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Annuar: Jangan 'malu alah' sebar kejayaan Najib
Diterbitkan:  Nov 8, 2017 5:35 AM
Dikemaskini: 9:56 PM

Jentera penerangan Umno negeri dinasihat jangan 'malu alah' dalam menyebarkan kejayaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam memacu kemajuan negara dalam keadaan ketidaktentuan ekonomi global.

Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata terdapat usaha untuk menenggelamkan kejayaan yang dilakar perdana menteri dan presiden Umno itu dengan menimbulkan persepsi yang buruk terhadap kepimpinan beliau dengan menyebarkan pelbagai berita palsu kepada rakyat.

"Ada pihak yang cuba menenggelamkan kisah kejayaan perdana menteri dan diganti dengan cerita negatif seolah-olah negara hendak bankrap, rakyat tiada makanan sebab tekanan kos sara hidup seolah-olah kerajaan tidak berbuat apa-apa sedangkan kita tahu di era Datuk Najib banyak bantuan subsidi diberi kepada rakyat," katanya dalam da sidang akhbar sebelum program dialog Perjuangan 4All di Shah Alam hari ini.

Tegas beliau: "Jentera penerangan perlu lebih proaktif dan jangan malu alah dalam bercerita, memberitahu rakyat mengenai kejayaan dan sumbangan perdana menteri dan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam mentadbir negara”.

Annuar berkata tidak perlu ada rasa rendah diri dalam kalangan anggota Umno untuk bercerita mengenai kejayaan itu.

Kerajaan persekutuan pimpinan Barisan Nasional antara kerajaan yang terbaik di rantau ini dalam mengurus ekonomi dan rakyat, katanya.

Mengenai program itu, beliau berkata: "Kita sedia berkongsi dan tidak akan menyembunyikan apa-apa kebenaran, malah akan berkongsi segalanya dengan rakyat. Umno dan BN hadir kerana dipilih rakyat dan akan terus ada berkhidmat demi mereka."

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS