Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anggota polis mungkin tak naik pangkat jika berat berlebihan
Diterbitkan:  Nov 8, 2017 6:18 AM
Dikemaskini: 10:26 PM

Semua pegawai dan anggota polis berdepan kemungkinan tidak akan dipertimbangkan kenaikan pangkat jika mempunyai berat badan yang berlebihan.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, setiap anggota serta pegawai perlu melepasi ujian Indeks Jisim Tubuh (BMI) bagi memastikan mereka mempunyai berat badan ideal.

Zulkifli berkata langkah itu bertujuan untuk menerapkan budaya hidup sihat di kalangan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar dapat menjalankan tugas dengan baik dalam keadaan badan yang cergas.

Beliau ditemui pemberita semasa Program Kepolisan Berprofil Tinggi Kayuhan Basikal Cegah Jenayah sempena lawatan rasminya ke Perlis, selepas meninjau keadaan banjir di Pulau Pinang dan Kedah.

Beliau bersama pegawai dan anggota PDRM Kontinjen Perlis turut membuat kayuhan basikal sejauh 20 kilometer di Kangar, yang turut disertai Ketua Polis Perlis Datuk Azisman Alias.

Katanya program itu selaras dengan objektif pengenalan program ‘Trim and Fit’ yang diperkenalkan pihaknya tahun lepas, bagi memastikan tahap kesihatan pegawai dan anggotanya menjadi lebih baik.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS