Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MP: Dulu pun Dr M hanya perkudakan Umno
Diterbitkan:  Nov 8, 2017 1:46 PM
Dikemaskini: 5:51 AM

Kesetiaan Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Umno terus dipersoalkan walaupun beliau tidak lagi bersama parti yang pernah dipimpinnya lebih 20 tahun itu.

Terbaru anggota parlimen Rompin, Datuk Seri Hasan Arifin berkata Mahathir dulu hanya mempergunakan Umno untuk menjadi perdana menteri dan berkuasa.

“Beliau bukannya benar-benar berjiwa Umno dan setia pada perjuangan Umno, sebaliknya memperkudakan Umno untuk kepentingan agenda politik peribadinya.

“Kerana itulah, kita lihat beliau hari ini sanggup berbuat apa saja sehingga sanggup mengatakan perkara-perkara yang tidak betul,” beliau dipetik sebagai berkata oleh Umno Online.

Hasan juga berkata, langkah Mahathir itu termasuk bersekongkol dengan DAP yang lebih dua dekad digelarnya sebagai memusuhi Islam dan orang Melayu.

“Dr Mahathir bertindak sebegitu rupa hari ini kerana beliau sedar bahawa Umno tidak lagi dapat beliau tunggangi untuk merealisasikan agenda politik peribadinya,” jelasnya.

Wakil rakyat Rompin itu juga mendakwa Mahathir sengaja membiarkan Umno diharamkan pada 1988 semata-mata untuk menyingkirkan pencabarnya ketika itu Tengku Razaleigh Hamzah.

Ia antaranya, dakwa Hasan, untuk mengelakkan pemilihan semula jawatan presiden Umno yang menyaksikan Mahathir menang tipis 43 undi melebihi Tengku Razaleigh.

“Padahal masih ada ruang untuk berbuat sesuatu agar Umno tidak diharamkan kerana beliau merupakan perdana menteri ketika itu.

“Namun Dr Mahathir tidak berbuat demikian kerana beliau sememangnya mahu Umno diharamkan untuk mengelakkan undian semula antara beliau dan Tengku Razaleigh dilaksanakan,” tegasnya dalam program Siri Jelajah Penerangan Perjuangan 4All di Shah Alam, Selasa malam.

Selain Hasan, anggota Parlimen Pendang Datuk Othman Abdul turut diundang menjadi ahli panel program itu.

Turut hadir Pengerusi Perhubungan Umno Selangor Tan Sri Noh Omar.

Lihat Komen
ADS