Seorang lelaki menyembur sejenis cecair ke muka anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) kerana tidak berpuas hati tayar keretanya dikunci, di hadapan sebuah restoran di Bandar Puteri, Puchong, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 12.40 tengah hari, ketika penguat kuasa itu menjalankan operasi kunci tayar sebelum mendapati sebuah kereta Honda City putih diparkir bukan di tempat letak kereta, lapor Berita Harian.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias dilaporkan berkata kesalahan itu menyebabkan penguat kuasa itu dan rakannya mengunci tayarnya.

"Tiba-tiba sepasang suami isteri datang memarahi anggota terbabit dan bertindak agresif.

"Si suami kemudian menyembur sejenis cecair yang tidak diketahui ke muka anggota sebelum melarikan diri bersama isterinya," beliau dipetik sebagai berkata dalam kenyataan, hari ini.

Megat Mohamad Aminuddin berkata, akibat kejadian penguat kuasa itu mengalami pedih mata selain penglihatannya kabur.

Polis sedang mengesan pasangan terbabit dan meminta mereka segera menyerah diri.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324/353 Kanun Keseksaan.