Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad belum dihubungi pihak polis berhubung kenyataannya yang didakwa menghina masyarakat Bugis.
"Belum lagi," katanya ketika ditemui di Pulau Pinang hari ini.
Bekas perdana menteri itu bulan lalu menggelar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai 'lanun Bugis' yang sepatutnya dihantar pulang ke Sulawesi.
Kenyataan itu dibuat ketika Mahathir berucap pada perhimpunan antikleptokrasi di Padang Timur, Petaling Jaya, 14 Oktober lalu.
Ucapan Mahathir itu dilapor menyinggung masyarakat Bugis termasuk Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mengatakan Mahathir harus disiasat di bawah Akta Hasutan 1948 kerana menghasut.
The Malaysian Insight hari ini melaporkan polis Selangor akan menyiasat bekas perdana menteri itu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Fadzil Ahmat berkata pihaknya telah membuka dua kertas siasatan berhubung dua kenyataan dibuat Mahathir yang didakwa menghina masyarakat Bugis.
Mahathir bagaimanapun menegaskan kenyataan beliau hanya ditujukan kepada Najib dan bukan masyarakat Bugis secara keseluruhan.
