Berita Malaysiakini

Dr Mahathir 'lupakan sengketa' dengan PM

Low Chia Ming dan Zikri Kamarulzaman  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Banjir bukan saja membuat Lim Guan Eng dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berdakapan, malah membawa Tun Dr Mahathir Mohamad serta Datuk Seri Najib Razak berada pada haluan sama.

"Ini sangat baik. Benda ni (banjir) bukan saja kena pada parti Pakatan Harapan atau kerajaan, tapi semua orang.

"Kita patut berfikir mengenainya sebagai masalah rakyat. Jadi sepatutnya tak ada rujukan dibuat kepada mana-mana parti, menyalahkan kerajaan ini atau itu," katanya kepada media di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas di Pulau Pinang hari ini.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu melawat Pulau Pinang yang kini masih dilanda masalah berkaitan banjir selepas mengalami hujan lebat serta angin kencang pada Ahad lalu.

Kira-kira 80 peratus negeri itu dinaiki air dan Lim menghubungi Ahmad Zahid kira-kira jam 3.30 pagi pada 5 Nov untuk mendapatkan bantuan.

Ahmad Zahid yang juga timbalan perdana menteri kemudian menjanjikan anggota Angkatan Tentera Malaysia untuk dihantar membantu kerja menyelamat di Pulau Pinang.

Perlu cari jalan

Perdana menteri pula mengingatkan semua pihak agak mengutamakan bantuan kemanusiaan tanpa mengambil kira faktor politik.

Kata Najib semua agensi kerajaan dan jentera parti politik perlu bekerjasama membantu semua mangsa banjir.

Dr Mahathir berkata tindakan menyalahkan mana-mana pihak tidak sepatutnya dilakukan oleh orang awam atau kakitangan kerajaan.

Ditemui di Penanti petang tadi Dr Mahathir berkata kejadian banjir yang berlaku menjadi pengajaran kepada rakyat untuk belajar bagaimana menguruskan bencana.

Beliau juga berkata lebih banyak kejadian banjir boleh berlaku pada masa depan, antara lain disebabkan masalah pemanasan global.

Katanya apabila fenomena itu berlaku perubahan suhu di pelbagai tempat di seluruh dunia akan menyebabkan pertukaran tekanan dan membawa kepada jumlah hujan yang meningkat serta angin kencang.

"Anda tak boleh buat apa-apa untuk mengurangkan pemanasan global. Memanglah Presiden AS Donald Trump tak percaya tapi kejadian ini memang berlaku.

"Bencana sebegini akan terus berlaku lagi dan lagi. Jadi saya rasa kita perlu fikirkan bagaimana untuk menanganinya dan mencari tempat yang boleh dijadikan perlindungan," katanya.

[Baca berita penuh]