S'pura tak cadang kenakan bayaran balas atas kenderaan M'sia
Tiada rancangan untuk mengenakan bayaran timbal balas buat masa ini untuk permit masuk kenderaan (VEP) seperti yang akan dilaksanakan Malaysia lewat tahun ini, kata Menteri Pengangkutan Singapura Khaw Boon Wan.
“Kami akan pantau pelaksanaan VEP oleh Malaysia,” katanya dalam jawapan bertulis kepada anggota Parlimen GRC Jurong, Ang Wei Neng yang dikirim pada laman web kementerian berkenaan.
Ang bertanya sama ada kementerian itu akan mengkaji semula fi VEP dan bayaran tol bagi kenderaan yang berdaftar di luar yang memasuki Singapura berikutan pengumuman Kerajaan Malaysia mengenakan fi VEP selain bayaran jalan yang kini dikenakan ke atas kenderaan asing yang memasuki Malaysia dari Singapura.
“Walaupun VEP Malaysia memakai nama yang sama seperti VEP Singapura, tetapi kedua-duanya punya tujuan berbeza,” kata Khaw.
Khaw mengambil perhatian bahawa fi VEP Singapura adalah untuk mengimbangi kos memiliki dan menggunakan di Singapura kenderaan yang berdaftar di Malaysia, dengan kos kenderaan yang berdaftar di Singapura.
Fi VEP Malaysia, sebaliknya, nampaknya untuk menampung kos kad identifikasi radio-frekuensi (RFID) daripada pengguna kenderaan asing memasuki Malaysia, jelas beliau.
“Malaysia telah juga mengumumkan ia akan melaksanakan fi VEP di Tambak Johor, Link Kedua dan sempadan Malaysia-Thailand mulai penghujung 2017, dan di sempadan Malaysia-Brunei dan Malaysia-Indonesia pada 2018,” kata menteri itu.
Awal Oktober, Menteri Pengangkutan Malaysia Datuk Seri Liow Tiong Lai mengumumkan semua kenderaan berdaftar di luar yang memasuki Malaysia perlu mempunyai VEP, selain dikenakan bayaran jalan RM20.
Kos VEP ialah RM25, dan sah untuk tempoh lima tahun.
- Bernama

