Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Wakil rakyat BN hari ini menyerahkan memorandum kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai membantah tindakan Dewan Undangan Negeri (DUN) menolak usul bagi membahas isu kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang didakwa menghina masyarakat Bugis.

Memorandum tersebut juga sebagai tanda sokongan kepada baginda serta bagi mendesak Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyatakan pendirian sebenar kerajaan negeri itu terhadap Mahathir sebagai pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu.

Penyerahan memorandum di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam diketuai oleh Timbalan Pengerusi BN Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan.

Memorandum tersebut diserahkan kepada Setiausaha Sulit Sultan Sharafuddin, Datuk Mohamad Munir Bani.

“Memerondum ini adalah bagi membantah tindakan DUN Selangor menolak usul bagi membahaskan isu kenyataan Mahathir sedangkan ia perkara berkepentingan kerana sultan Selangor sendiri selaku ketua negeri telah menzahirkan kemurkaan baginda,” kata Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang Datuk Abdul Shukur Idrus.

Shukur berkata demikian ketika ditemui pemberita di DUN Selangor di Shah Alam, hari ini.

Menurut Shukur lagi, Mohamad Munir memaklumkan kepada beliau bahawa sultan begitu mengharapkan sokongan sebegitu.

"Memang Tuanku harap sangat sokongan kepada baginda," kata Abdul Shukur.

Pada 2 November lalu, Sultan Sharafuddin melalui satu kenyataan menyatakan rasa murka terhadap kenyataan Mahathir, dan menyifatkan ia cuba menghasut rakyat untuk membenci masyarakat Bugis.

Mahathir pula sudah menjelaskan perkara itu dengan berkata kenyataan 'lanun Bugis' itu hanya ditujukan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, bukannya seluruh masyarakat Bugis.

Lihat Komen
ADS