Paling Popular
Terkini

PARLIMEN | Malaysia boleh berbangga dengan durian apabila buah itu dikatakan boleh mendorong penduduk China berbaris panjang untuk mendapatkannya.

Menurut Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek di negara tembok besar itu dikatakan ada dua produk yang boleh membuatkan penduduknya rela beratur panjang.

"Satu, apabila ada iPhone baru, iPhone X keluar dan kedua beratur untuk durian Malaysia.

"Hal ini yang patut kita tengok," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Ahmad Shabery berkata demikian sebagai menjawab soalan Liang Teck Meng (BN-Simpang Renggam) yang membangkitkan persoalan mengenai harga melampau durian Musang King baru-baru ini.

Kata Liang sebelum ini Lim Guan Eng (DAP-Bagan) menuduh kerajaan menjadi punca harga durian Musang King meningkat begitu tinggi selepas membenarkan ia dieksport ke China.

Keadaan itu katanya memaksa orang ramai di negara ini membayar harga yang jauh lebih tinggi untuk menikmati durian.

Menurut Ahmad Shabery Malaysia tidak ada buah-buahan lain yang dapat dieksport secara besar-besaran dan mempunyai nilai tinggi di luar negara.

Bagi Eropah, katanya, negara dari benua itu boleh berbangga dengan produk pertanian mereka - seperti epal, oren dan anggur yang dieksport ke luar.

Elak berlaku lambakan

Katanya memang ada produk lain yang dieksport seperti nanas, nangka dan sebagainya.

"Tetapi kita lihat durian ini luar biasa dari segi nilai dan rasa. Jadi kita harus rasa bangga," katanya yang berkongsi pengalamannya semasa berkunjung ke China untuk mempromosi buah-buahan Malaysia.

Ahmad Shabery juga menjelaskan kenaikan melampau harga durian di negara ini bukan disebabkan pengeksportan buah itu ke China.

Sebaliknya kata beliau apa yang berlaku ialah jumlah pengeluaran yang berkurangan secara ketara.

Katanya, jumlah penghasilan durian baru-baru ini lalu merosot sehingga 20 peratus berbanding musim lalu.

"Kerajaan sedar terdapat kenaikan harga yang luar biasa terutama untuk durian Musang King. Baru-baru ini sampai RM100 sekilogram.

"Sebenarnya punca kenaikan harga itu bukan kerana eksport ke China, tetapi atas faktor musim.

"Pengeluaran tahun ini hanya 20 hingga 30 peratus daripada pengeluaran sepatutnya, jadi harganya tinggi," kata Ahmad Shabery.

Beliau juga berkata orang ramai tidak wajar melihat kenaikan harga durian itu sebagai sesuatu yang negatif semata-mata.

Kata Ahmad Shabery bagi petani yang terlibat dalam industri itu, kenaikan harga berkenaan memberi manfaat kepada mereka.

"Kalau tidak ada harga misalnya, akan berlaku lambakan, tidak ada orang nak beli seperti mana yang berlaku pada buah mangga harumanis baru-baru ini," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS