Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP: Ucapan 'kepala bapak kau' tanda sakit mental?

PARLIMEN | Zuraida Kamaruddin (PKR-Ampang) hari ini membangkitkan persoalan sama ada seseorang yang mengeluarkan kata-kata kesat - seperti "kepala bapak kau" - sebagai salah satu petanda masalah mental.

Mengemukakan soalan kepada Kementerian Kesihatan Zuraida yang juga ketua wanita PKR berkata antara masalah sakit mental yang dialami seseorang ialah kemurungan, tekanan perasaan, pelakuan ganas dan membunuh diri.

"Kesedihan dan kemurungan adalah salah satu faktor sakit mental yang harus ditangani.

"Justeru faktor-faktor kemurungan ini termasuk juga mereka yang memberikan ucapan ganas seperti mengucapkan kepala bapak engkau. Ini juga satu simpton penyakit mental," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Zuraida membangkitkan perkara itu sebagai soalan tambahan ketika sesi soal jawab berlangsung.

Menjawab soalan itu Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam sebaliknya menjawab dengan berseloroh.

"Tidak yang berhormat. Salah satu punca stress ialah apabila satu soalan kesihatan boleh (bertukar) menjadi soalan politik," katanya disambut ketawa anggota parlimen BN.

'Bodoh punya kerja'

Subramaniam yang juga presiden MIC menambah, seorang seorang rakyat yang sedar bahawa tekanan perasaan perlu dikurangkan, semua pihak perlu "sedar terlebih dulu" mengenai apakah soalan yang boleh atau tidak boleh ditanya.

Zuraida memang tidak menyebut nama atau merujuk kepada sesiapa dalam pertanyaannya.

Bagaimanapun ia jelas dikaitkan dengan ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semasa menyampaikan ucapan perasmian Mesyuarat Agung Tahunan MCA di Kuala Lumpur pada 5 Nov lalu.

Mempertahankan dasar-dasar kerajaan Najib berkata hubungan kerjasama Malaysia - China tidak akan menjejaskan kedaulatan negara seperti yang selalu didakwa pembangkang.

 

Sebelum ini Pakatan Harapan (HARAPAN) berjanji untuk mengkaji semula kerjasama antara negara itu jika berjaya menguasai Putrajaya selepas pilihan raya umum akan datang.

"Mereka mengancam untuk mengubah segala-galanya, kononnya (Malaysia) menjual kedaulatan. Apa? Kepala bapak kau! Tak logik," kata Najib dengan bersemangat di depan ribuan perwakilan MCA di Jalan Ampang.

Bagaimanapun Najib kemudian meminta maaf kerana menggunakan "bahasa kasar" dalam ucapannya.

"Bodoh. Anda fikir Kuantan Industrial Park orang Malaysia tak boleh masuk?

"Bodoh punya kerja. Saya tak lah terlalu bodoh untuk menipu Malaysia. Ini adalah tanah air kita yang berdaulat," katanya disambut dengan tepukan gemuruh hadirin.

Menjelaskan lebih lanjut Dr Subramaniam (gambar) berkata penyakit mental dan masalah kesihatan mental adalah dua isu yang berbeza.

Katanya kerajaan telah mengambil pelbagai langkah untuk menangani isu berkenaan seperti khidmat komuniti kesihatan mental di semua klinik kesihatan seluruh negara.

"Ia meliputi aktiviti-aktiviti promosi, pengesanan awal melalui saringan bagi membolehkan ia dikesan lebih awal," katanya.

Lihat Komen
ADS