Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rafizi bagi 'petua 20sen' buat Najib menang pilihan raya

PARLIMEN | Pada hari ramai orang marahkan kerajaan kerana perlu membayar harga minyak tertinggi sejak April lalu Anggota Parlimen Pandan Rafizi Ramli hari ini memberikan tip kepada perdana menteri untuk membantu BN memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Kata Rafizi Datuk Seri Najib Razak boleh memberikan subsidi 20 sen bagi setiap liter petrol yang dibeli untuk mengurangkan beban kos sara hidup ditanggung rakyat negara ini.

Rafizi yang juga naib presiden PKR berkata subsidi berkenaan boleh diberi kerajaan pada Disember tahun ini dan Januari tahun depan.

“Biar saya beri tip kepada Najib untuk menang PRU14. Bagi subsidi 20 sen seliter sepanjang Disember 2017 dan Januari 2018. (BN) akan menang PRU, tak ada masalah.

“Disember dan Januari ialah bulan paling susah buat rakyat (sebab) nak buka sekolah (untuk anak-anak), kena bayar yuran sekolah, beli kasut.

"Saya tahu sebab orang kena beratur bayar yuran PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru),” katanya kepada pemberita pada sidang media di parlimen hari ini.

Rafizi yang dikenali dengan pelbagai kenyataan berkaitan angka, statistik dan ekonomi menambah, sepanjang menjadi perdana menteri, Najib mencipta sejarah tersendiri apabila petrol RON95 mencecah RM2.31 seliter manakala RON97 naik sebanyak enam sen kepada RM2.60 seliter mulai semalam.

Kutipan lebih tinggi

Harga terbaru itu merupakan kenaikan kali keempat berturut-turut sejak 11 Oktober lalu dan berada pada paras tertinggi sejak penentuan secara mingguan dilaksanakan mulai 30 Mac lalu.

Harga runcit petrol dan diesel negara ini ditentukan oleh harga minyak global berdasarkan Mean of Platts Singapore (MOPS) dan kekuatan ringgit berbanding dolar AS.

Harga terbaru itu merupakan kenaikan kali keempat berturut-turut sejak 11 Oktober.

Kata Rafizi berdasarkan kepada jawapan diberi Najib di Dewan Rakyat jumlah purata penggunaan tahunan petrol dan diesel ialah sebanyak 27 bilion liter.

Mengikut kiraan secara bulanan pula katanya jumlah purata ialah 2.25 bilion liter.

"Subsidi 20 sen setiap liter hanyalah melibatkan peruntukan RM900 juta bagi Disember 2017 hingga Januari 2018. Ia lebih kurang 25 peratus saja daripada pendapatan luar jangka yang dikutip Najib sejak awal tahun ini," katanya.

Rafizi juga berkata, dengan kenaikan harga minyak kerajaan persekutuan akan mendapat manfaat seperti "durian runtuh” kerana dapat mengutip cukai yang tinggi.

"Kerajaan akan mendapat kutipan cukai pendapatan syarikat yang lebih tinggi. Kutipan cukai pendapatan petroleum juga akan lebih tinggi serta kutipan cukai pendapatan individu.

"Bahkan, kutipan cukai barangan dan pendapatan (GST) juga akan lebih tinggi kerana RON97 dan produk berasaskan petroleum dikenakan GST.

"Selain itu, kerajaan juga akan mendapat royalti petroleum tinggi, serta dividen tinggi daripada Petronas," katanya.

Lihat Komen
ADS