Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KDN cadang JPA semak semula 13 elaun tambahan anggota polis
Diterbitkan:  Nov 9, 2017 3:21 PM
Dikemaskini: 7:27 AM

Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menghantar 13 cadangan elaun tambahan anggota polis berpangkat rendah kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk semakan semula, demikian persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Masir Kujat berkata cadangan tersebut bagi membantu anggota polis menangani masalah kos sara hidup.

“Sekiranya diluluskan, ini akan membantu anggota yang bergaji rendah kerana setiap pangkat akan ada insentif yang diberikan,” katanya ketika sesi waktu pertanyaan menteri.

Beliau menjawab soalan Datuk Fauzi Abdul Rahman (PKR-Indera Mahkota) mengenai langkah yang diambil bagi membantu anggota polis berpangkat rendah menangani kos sara hidup.

Masir berkata kerajaan juga sedang melaksanakan pelbagai usaha bagi memastikan kebajikan anggota polis dan keluarga dijaga.

“Dalam pembentangan Bajet 2018, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga telah mengumumkan pembinaan 10,000 unit Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia-PDRM, menyedari ramai anggota polis yang telah bersara tetapi masih menyewa.

“PDRM juga telah diperuntukkan sebanyak RM30.5 juta untuk penyelenggaraan kuarters, pejabat dan kemudahan lain. Selain itu, terdapat 13 projek sambungan kuarters bagi tahun 2016," kata Masir.

Beliau berkata pusat saringan kesihatan yang dilaksanakan di Bukit Aman sebagai projek perintis untuk kemudahan anggota menjalankan pemeriksaan kesihatan juga akan diperluas pada masa akan datang.

“Kita juga menyediakan rumah transit bagi keluarga yang mengiringi anggota mendapatkan rawatan di hospital dan sebanyak 19 pusat hemodialisis diwujudkan di seluruh negara bagi memberi rawatan percuma kepada anggota yang menghidap penyakit buah pinggang,” katanya.

Menurutnya, pusat jagaan anak dan taska juga dibina di tempat kerja dan kompleks kediaman PDRM bagi mengurangkan kos penghantaran anak ke pusat asuhan kanak-kanak.

Menjawab soalan tambahan Datuk Noor Azmi Ghazali (BN-Bagan Serai) mengenai pendekatan proaktif yang diambil bagi memastikan anggota PDRM tidak terlibat dalam gejala rasuah, Masir berkata Jabatan Integriti dan Pemantauan Standard yang ditubuhkan akan melakukan pemantauan dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas anggota yang didapati melanggar undang-undang.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS