Lelaki ditahan bersama 700kg daun ketum
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Pasukan Rejimen Sempadan 2 (2 RS) menahan seorang lelaki bersama 700 kilogram daun ketum bernilai RM66,500 yang cuba diseludup keluar ke Thailand dekat Bukit Kayu Hitam awal pagi semalam.
Panglima 6 Briged Brigedier Jeneral Abd Aziz Ismail berkata lelaki berumur 22 tahun itu ditahan lima anggota tentera diketuai Koperal Sabran Latim setelah melihat sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipandu lelaki itu dalam keadaan mencurigakan berhampiran Pos Sahara pada 2.45 pagi.
"Ketika itu kenderaan tersebut sedang melalui laluan kebun getah menuju ke sempadan Thailand dalam keadaan mencurigakan. Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut mendapati terdapat plastik hitam berisi daun ketum ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Abd Aziz berkata lelaki serta kenderaan bernilai RM55,000 yang turut dirampas bersama daun ketum itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, beliau berkata pasukan 2 RS akan terus memperketatkan kawalan di sempadan negara dalam usaha mengekang kegiatan penyeludupan terus berleluasa berlaku di negara ini.
Dadah: Rakyat M'sia ditahan di S'pura
Sementara itu, pihak berkuasa Singapura merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih S$69,000 (kira-kira RM213,900) daripada seorang warga Malaysia ketika lelaki tersebut melalui pemeriksaan di Pusat Imigresen dan Pemeriksaan Singapura (ICA) Woodlands pada Selasa.
Dalam satu kenyataan bersama ICA dan Biro Narkotik Pusat (CNB) hari ini, pihak berkuasa berkenaan berkata dalam kejadian 10.20 malam itu, pemeriksaan terhadap kereta bernombor pendaftaran Malaysia yang dipandu sendirian oleh suspek berusia 28 tahun tersebut menemukan empat bungkusan.
Bungkusan itu mengandungi 616 gram syabu, 29 gram ketamin, 590 biji erimin 5 dan 20 biji ekstasi, kata pihak berkuasa berkenaan.
Siasatan lanjut membawa kepada penangkapan dua lagi suspek, masing-masing lelaki warga Singapura berusia 28 dan 32 di Bedok North Street 1, pada awal pagi semalam.
Pemeriksaan CNB ke atas kereta yang dipandu lelaki berusia 32 tahun berkenaan menemukan 10 gram syabu, 4.0 gram ketamin, 21 biji erimin 5 serta 5 biji esktasi dan dua perlengkapan dadah.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan,” demikian menurut kenyataan itu.
Akta Penyalahgunaan Dadah memperuntukkan hukuman mati jika dadah jenis metafetamina yang diseludup melebihi 250 gram.
- Bernama

