Selepas dua bulan menerima sijil penghargaan kerana bertenang ketika diacu pengunci stereng oleh seorang wanita, angota penguatkuasa Majlis Perbandaran Subang jaya (MPSJ), Norsafuan Nordin, didakwa diserang sekali lagi kelmarin.

Dalam kejadian 7 Nov itu Norsafuan dikatakan sedang bertugas bersama rakannya di sekitar Bandar Puteri Puchong apabila dua individu menghampirinya dan menyembur sejenis cecair.

Mendedahkan insiden itu Anggota Dewan Undangan Negeri Kinrara, Ng Sze Han, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 12.40 tengah hari.

"Insiden berlaku semasa penguat kuasa tersebut mahu mengambil tindakan ke atas sebuah kereta Honda City putih yang diletakkan di tempat tidak sepatutnya.

"Bagaimanapun ada pasangan yang datang dan salah seorang daripada mereka menyembur sejenis cecair ke arah mangsa menyebabkan dia sukar bernafas dan sakit mata," katanya pada sidang media di Shah Alam hari ini.

Turut hadir Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ean Yong Hian Wah.

Butiran kereta semua ada

Pada 8 September lalu, rakaman video menunjukkan Norsafuan bertegas dengan tenang ketika diherdik seorang wanita menjadi tular walaupun dia seperti diancam untuk dikasari dengan pengunci stereng.

Wanita terbabit berang apabila keretanya dikapit selepas diletakkan di kawasan tidak sepatutnya. Insiden itu juga berlaku di kawasan Bandar Puteri Puchong.

Susulan kejadian itu, Norsafuan menerima pujian orang ramai kerana tindakan profesionalisme dan kesabarannya. Dia juga diberikan sijil penghargaan daripada MPSJ.

Menurut Ng (gambar) kejadian seumpama itu tidak patut berlaku sama sekali namun menolak kemungkinan kejadian terbaru itu bermotifkan dendam atau ada kaitan dengan insiden sebelum ini.

Sementara itu Ean berkata suspek yang terbabit dinasihat supaya menyerah diri kepada pihak yang berkenaan.

"Kami memiliki maklumat berkaitan jenama dan normbor pendaftaran kenderaan susupek, jadi saya rasa tak ada kesukaran untuk polis mengesan siapa pemilik kereta tersebut," katanya.

Kata Ean laporan polis sudah dia buat pada hari di Balai Polis Puchong.

"Saya berharap supaya pihak polis dapat menahan suspek segera," katanya.

Mengulas lanjut Ean berkata setakat ini belum ada keperluan untuk membekalkan penguat kuasa kerajaan tempatan dengan senjata.

"Saya rasa yang penting ialah mereka menjalankan tugas mengikut arahan dan profesional serta tenang menghadapi situasi yang timbul," katanya.

Sementara itu, ADUN Balakong, Ng Tien Chee, pula mencadangkan kerajaan supaya menyediakan kemudahan kamera untuk peguat kuasa supaya mereka boleh membuat rakaman jika berdepan masalah.