Anggota Parlimen Kuala Terengganu Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad menggesa kerajaan konsisten membanteras kemasukan nelayan asing yang mencuri hasil laut negara, bukan secara bermusim sahaja.

Beliau mengulas tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 22 warga tempatan dan asing, termasuk lima kakitangan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), tiga hari lalu, yang disyaki terlibat dalam kes pencerobohan nelayan asing ke perairan negara.

Operasi dengan kerjasama APMM itu juga merampas wang rasuah berjumlah RM1.9 juta dan membekukan 44 akaun bank berjumlah RM2 juta.

Raja Bahrin berkata, beliau khuatir tangkapan sebelum ini hanya gimik politik kerana pilihan raya umum (PRU) semakin hampir.

"Operasi seperti ini tidak boleh berlaku secara bermusim tetapi perlu berterusan dan mengambil kira semua pihak yang terlibat.

"Jangan hanya dilakukan sekarang dan lepas PRU kalau mereka masih berkuasa, tidak ada apa-apa tindakan diambil," katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Dalam operasi itu, SPRM menahan 9 individu di Pahang, 3 di Terengganu, 4 di Sarawak, 5 di Sabah dan satu di Labuan.

Sejumlah tujuh daripadanya adalah warga Vietnam, termasuk seorang wanita dari negara itu yang bergelar 'Datuk'.

Raja Bahrin mendakwa, tangkapan itu membayangkan kegiatan pencerobohan itu mendapat bantuan "pihak atasan", apatah lagi kerana melibatkan individu bergelar datuk.

"Mereka (nelayan asing) mampu menawarkan rasuah setinggi RM100,000 kepada penguatkuasa maritim adalah bukti orang atas yang kaya membiayai sindiket ini.

"Bagaimana pula seorang warga Vietnam boleh mendapat gelaran Datuk? Ini menunjukkan dia ada pengaruh di peringkat atas.

"Ada juga kebocoran maklumat apabila nelayan haram dari negara itu boleh mengelak tangkapan sebaik sahaja nelayan tempatan membuat aduan," katanya yang juga Pengerusi Biro Antarabangsa Parti Amanah Negara (AMANAH).

'Ada godfather terlibat'

Pada bulan lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, negara kerugian hasil laut sebanyak 980,000 tan metrik bernilai RM3 bilion hingga RM6 bilion setiap tahun akibat pencerobohan nelayan asing.

Katanya lagi, dianggarkan hanya 50 peratus ikan ditangkap di perairan Malaysia didaratkan di negara.

Justeru, Raja Bahrin menggesa kerajaan menangkap dalang sebenar yang dipercayai daripada golongan VVIP, bukan 'ikan bilis' semata-mata.

"Nelayan percaya ada pihak yang lebih berkuasa dan berpengaruh terlibat. Sindiket ini sudah lama berakar umbi di Malaysia dan ada 'Godfather' yang berkedudukan tinggi," dakwanya lagi.