Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rakyat K'tan dinasihat jangan percaya berita tak sahih
Diterbitkan:  Nov 9, 2017 6:52 PM
Dikemaskini: 10:55 AM

Rakyat Kelantan hari ini diingatkan agar tidak mudah percaya dengan laporan berita atau maklumat yang disebar tanpa pengesahan daripada agensi bertanggungjawab berhubung kejadian banjir di negeri itu.

Ketika memberi ingatan itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Negeri Datuk Mohd Faudzi Che Mamat turut menyelar pihak yang berkenaan kerana menularkan berita tidak sahih.

“Memang kita akui ini musim tengkujuh dan hujan, namun setakat ini tiada tanda luar biasa berlaku.

"Kita cuma jangkakan ada air pasang besar sahaja dan harapnya tidak disertai dengan hujan," katanya kepada pemberita di Kota Bharu hari ini.

Beliau sebelum itu berkongsi dengan pemberita tentang laporan berita yang disiarkan oleh sebuah stesen televisyen swasta yang membuat tinjauan di Kuala Krai dan mendakwa suhu di kawasan tersebut dijangka turun kepada 17 darjah Celcius serta kemungkinan berlaku banjir besar.

Mengulas lanjut, Mohd Faudzi berkata laporan itu yang kemudian ditularkan menerusi media sosial boleh mencetuskan panik dan kebimbangan dalam kalangan masyarakat sedangkan agensi yang bertanggungjawab tidak menjangkakan situasi sedemikian di jajahan tersebut.

Sehubungan itu, beliau turut meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia memantau penularan berita sedemikian.

Mengulas mengenai persiapan banjir pula, Mohd Faudzi berkata kesemua pihak yang berkenaan termasuk sukarelawan kini dalam keadaan siap siaga dengan semua bekalan makanan telah dihantar ke semua pangkalan hadapan di negeri itu.

Beliau turut menasihatkan penduduk yang tinggal di kawasan rendah dan berisiko banjir untuk membuat persiapan awal termasuk menyimpan dokumen penting di tempat selamat selain memastikan simpanan bekalan air bersih dan makanan mencukupi.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS