'Tak perlu jadi panel, asalkan Selcat siasat'
Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Datuk Sulaiman Abdul Razak sanggup untuk tidak menjadi panel Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) dalam siasatan isu pemberian tanah Sungai Yu, Kuala Selangor, asalkan jawatankuasa menyiasat isu itu.
Sulaiman yang merupakan antara wakil UMNO dalam SELCAT berkata, ia bagi mengelakkan sebarang pertikaian dalam keputusan jawatankuasa itu nanti.
Namun beliau menyatakan kesediaannya untuk menjadi saksi siasatan, dan boleh memanggil beberapa saksi lain untuk membuktikan dakwaan pemberian tanah itu.
"Jika tidak ingin saya bersifat prejudis (ketika siasatan), saya sebagai ahli Selcat tidak perlu menjadi panel. Saya boleh jadi saksi.
"Biar diadakan pendengaran awam, semua orang boleh dengar. Boleh panggil pejabat tanah daerah dan penduduk sebagai saksi, kemudian kita boleh dedahkan," katanya pada sidang media di lobi bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di Shah Alam, hari ini.
Pada sidang DUN Selasa lalu, Sulaiman mendakwa 18 penerima tanah di Sungai Yu yang terletak di DUN Permatang melalui kad pengenalan palsu, selepas membuat semakan di Jabatan Pendaftaran Negara.
Beliau juga mendakwa penerima tanah bukan penduduk asal negeri itu dan ada juga yang tidak menepati syarat kelayakan.
"Saya sebut dalam dewan satu keluarga besar dapat, isteri dapat, empat adik-beradik dapat, anak dua orang dapat, adik ipar pun dapat, besan pun dapat( ayah kepada menantu)," dakwanya.
Namun dakwaan itu telah dibidas Exco Kemiskinan, Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang, V Ganabatirau yang berkata ia tidak disertakan bukti jelas, dan menggesa Sulaiman membuat laporan polis.
Mengulas lanjut, Sulaiman berkata beliau tidak membuat laporan kepada polis mahupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana tidak mahu ia dijadikan alasan untuk menghalangnya daripada menyuarakan isu itu.
"Pastinya akan ada sekatan di DUN. Kerajaan negeri akan halang saya bercakap kerana akan bersifat subjudis," katanya.
Pada Ogos 2016, masyarakat India di Kampung Sungai Yu menggesa Azmin menarik semula pemberian 153 lot tanah kerana mendakwa berlaku salah guna kuasa dalam pengagihannya.
Presiden Persatuan Progresif India Malaysia (Mipas), Rajaretinam Armuggan, ketika itu mendakwa sebahagian lot tanah diagihkan kepada "kroni" yang rapat dengan seorang exco kerajaan negeri.

