Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis siasat Ambiga atas khianat awam
Diterbitkan:  Nov 10, 2017 12:40 PM
Dikemaskini: 4:48 AM

Polis sedang menyiasat bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan berhubung tindakan Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown yang menamakannya sebagai sumber dalam artikel yang mendakwa PAS menerima RM90 juta daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Menurut The Malaysian Insight, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengesahkan bahawa siasatan telah dimulakan berikutan laporan yang dikemukakan oleh Pengerusi Gerakan Akar Umbi Umno, Zulkarnain Mahdar pada 1 November lalu.

Ambiga dilaporkan sedang disiasat di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana mendatangkan khianat awam.

Seksyen 505 (b) memperuntukkan kesalahan kerana membuat, menerbitkan atau mengedarkan apa-apa kenyataan, khabar angin atau berita dengan niat hendak menyebabkan, atau yang mungkin menyebabkan, ketakutan atau kegentaran kepada awam, atau kepada mana-mana golongan awam supaya oleh yang demikian itu seseorang mungkin terdorong melakukan sesuatu kesalahan terhadap negara atau terhadap ketenteraman.

Ambiga ketika dihubungi, berkata beliau akan mengeluarkan kenyataan media mengenai perkara berkenaan, petang ini.

Bagaimanapun, Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah binggung dengan undang-undang yang digunakan untuk menyiasat Ambiga.

"Secara peribadi, saya tidak melihat apa bahaya yang ditimbulkan di Malaysia melalui pembelaan Rewcastle-Brown ketika dia menamakan Ambiga sebagai seorang daripada saksinya," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menegaskan bahawa isu yang dibangkitkan dalam pembelaan Rewcastle-Brown bukanlah perkara baru seperti kes pembunuhan kejam Altantuya Shariibuu, timbalan pendakwa raya Kevin Morais dan skandal 1MDB.

Katanya, isu-isu berkenaan pernah dibincangkan di mahkamah Malaysia dan bukan sekadar hanya di lorong belakang.

"Biarkan mahkamah UK teruskan dan jangan cuba mengugut atau mengancam serta mengganggu saksi. Henti ganggu Ambiga dan biarkan kebenaran ditegakkan," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS