Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah sedih bahawa status album bergambar program “Seminar Kesedaran Jenayah Pedofilia” yang dimuatnaiknya semalam di laman Facebook kurang mendapat sambutan.

Menulis di Facebook pada petang ini, beliau berkata posting mengenai seminar itu hanya dikongsi dua kali dan mendapat 48 "like".

“Namun, jika status yang dimuat naik oleh saya adalah berkaitan seorang rakan keluarga atau sesi perjumpaan bersama-sama ahli keluarga diraja negara asing atau tokoh kalangan ternama, semua akan terus “like” dengan amat pantas.

“Jelas sekali tiada siapa yang ambil peduli tentang mereka yang mendera anak-anak kita.

“Perlukah kita menunggu sehingga anak-anak kita sendiri didera sebelum kita memberikan perhatian atau mengambil berat mengenainya?” soalnya.

Raja Zarith berkata jika seminar itu tidak dapat menarik perhatian atau minat rakyat, maka masa depan anak-anak yang didera secara seksual adalah kelam.

“Tiada siapa yang peduli. Terima kasih, rakyat Malaysia, di atas ketidakperhatinan anda.

“Jelaslah apa yang ditanggung dan dialami oleh anak-anak ini tidak menarik minat atau perhatian kebanyakan orang.

“Jika selepas ini status yang saya muatnaik adalah berkaitan dengan menu santapan tengahari saya, saya yakin ramai yang akan berminat tentangnya. Menyedihkan,” katanya.

Semalam, Raja Zarith mencemar duli merasmikan Seminar Kesedaran Jenayah Pedofilia Johor 2017 anjuran Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta'zim di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di Johor Bahru.

Tahun lalu, polis mendedahkan bahawa antara 2013 dan 2016, hampir 10,000 kes kanak-kanak yang menjadi mangsa berhubung beberapa jenis jenayah seks.

Daripada jumlah itu, lebih 50 peratus mangsa berada dalam kumpulan usia 13-15 dan 91 peratus daripada pelaku dikenali oleh mangsa.

Siasatan juga mendedahkan bahawa kebanyakan mangsa berkenalan dengan pelaku melalui media sosial.

Polis turut memberi amaran bahawa bilangan individu yang mengakses pornografi kanak-kanak kini semakin meningkat dan adalah membimbangkan.