Wanita Vietnam didakwa tawar suapan RM800,000
Seorang wanita Vietnam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuantan hari ini terhadap tuduhan menawarkan suapan RM800,000 kepada dua pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Ahad lalu.
Pengakuan Tran Thi Mai, 41, direkodkan di hadapan Hakim Dazuki Ali selepas pertuduhan itu dibacakan dalam Bahasa Melayu memandangkan tertuduh mengaku fasih dalam bahasa tersebut selepas 17 tahun menetap di negara ini.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menawarkan suapan itu dalam bentuk wang tunai kepada seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyamar sebagai orang tengah untuk diserahkan kepada Kapten Nurul Hizam Zakaria dan Kapten Amran Daud, pada jam 9.40 pagi 5 November lalu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah hotel di Kuantan, sebagai dorongan bagi melepaskan sembilan buah bot nelayan Vietnam yang ditahan di bawah Akta Perikanan 1985.
Tran didakwa mengikut Seksyen 16(b) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Fadhly Mohd Zamry memohon supaya mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh yang bukan warganegara dan juga tidak berstatus penduduk tetap.
"Siasatan SPRM juga mendapati tertuduh merupakan pemilik syarikat pengusaha bot nelayan dan dikhuatiri jika diberikan jaminan, tertuduh boleh melarikan diri bukan dengan menaiki kapal terbang, tetapi melalui perairan.
"Bagaimanapun, pihak kami berharap jika mahkamah mahu membenarkan jaminan, ia harus mengambil kira nilai rasuah iaitu RM800,000 dan pihak pendakwaan mohon supaya jaminan ditetapkan sebanyak RM1 juta dengan syarat pasport diserahkan kepada mahkamah," katanya.
Peguam tertuduh, G K Sritharan merayu supaya jaminan dibenarkan kerana anak guamnya yang beralamat di Bukit Sekilau di Kuantan, tidak akan melarikan diri memandangkan telah memiliki harta di Malaysia kerana menyertai program ’Malaysia My Second Home’(MM2H) yang mewajibkan pemilikan harta di negara ini.
Beliau menambah tertuduh juga tidak akan melarikan diri kerana mempunyai empat orang anak dan bersedia dengan apa sahaja syarat tambahan yang difikirkan sesuai oleh mahkamah serta mahu 'berdepan dengan perbicaraan penuh'.
"Saya difahamkan bahawa wang RM800,000 itu sebenarnya diberikan kepada beliau sebagai ejen untuk membeli sebuah bot, bukan sebagai wang rasuah. Apa yang berlaku pada masa ini adalah suatu spekulasi yang masih belum dibuktikan.
"Sebagai ejen, tertuduh memperoleh pendapatan bulanan antara RM4,000 hingga RM5,000. Saya difahamkan akaun tertuduh telah dibekukan dan tidak mampu untuk membayar sehingga RM1 juta. Tertuduh hanya boleh menjelaskan jaminan sebanyak RM30,000," katanya.
Dazuki, selepas mempertimbangkan hujahan kedua-dua pihak, membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM100,000 dengan dua penjamin warganegara Malaysia.
Sebagai syarat tambahan, tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri sebulan sekali di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 11 Disember depan.
- Bernama

