Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Annuar: Banjir, tanah runtuh bukti Pulau Pinang negeri gagal
Diterbitkan:  Nov 10, 2017 4:07 PM
Dikemaskini: 8:13 AM

Pulau Pinang di bawah pentadbiran DAP dan ketua menteri Lim Guan Eng telah merosot dan menjadi negeri yang gagal, kata Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa, hari ini.

Antara lain, Annuar menunjuk kepada tragedi banjir baru-baru ini sebagai bukti kelemahan pentadbiran DAP, selain tanah runtuh di Tanjung Bungah yang dibidas oleh pengkritik sebagai pembangunan di lereng bukit yang tidak terkawal.

“Pembangunan tanpa kawalan yang dilakukan oleh kerajaan negeri telah membawa musibah yang besar kepada rakyat negeri Pulau Pinang.

“Tetapi Guan Eng harus bersyukur kerana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah menunjukkan sikap berjiwa besar dengan menolak tepi fahaman politik demi membantu rakyat di negeri itu,” katanya yang dipetik oleh portal Umno Online.

Menurutnya, DAP selama ini melabel Malaysia sebagai sebuah negara yang gagal di bawah pentadbiran BN tetapi tuduhan tersebut terpalit ke muka sendiri.

“Banyak pihak telah menegur pentadbiran DAP yang hanya dilihat mementingkan keuntungan tanpa memikirkan risiko pada masa hadapan... malah seringkali mereka mengeluarkan kenyataan yang bongkak kononnya mereka jauh lebih baik daripada BN.

“Jika diimbas kembali, pada 15 Disember 2013, Guan Eng begitu angkuh mengeluarkan kenyataan mampu menyelesaikan masalah banjir dalam tempoh satu penggal sahaja. Begitu juga ADUN Tanjong, Ng Wei Aik yang mengeluarkan kenyataan pada tahun 2008 mampu selesaikan masalah banjir dalam tempoh sembilan bulan sahaja.

“Tetapi kita lihat apa yang terjadi sekarang ini. Sejak DAP mengambil alih pentadbiran negeri Pulau Pinang pada 2008, tahun demi tahun banjir di negeri itu semakin memburuk,” katanya.

Bertentangan dengan kenyataan mereka, Annuar mendakwa masalah itu secara sistematik bertambah buruk di sebalik usaha kerajaan negeri selama ini dan peruntukan terbaru kerajaan persekutuan sebanyak RM150 juta untuk kerja-kerja tebat banjir menerusi Bajet 2017.

“Ke mana hilang semua duit ini?” soalnya.

Selain isu banjir dan tanah runtuh, Annuar juga menyenaraikan beberapa faktor lain yang didakwanya membuktikan status Pulau Pinang sebagai negeri yang gagal.

Antara lain, beliau memetik penjualan tanah negeri yang didakwa tanpa melalui prosedur yang sepatutnya, hutang negeri yang semakin melonjak serta pelaburan yang semakin berkurangan sebagai "bukti jelas bahawa DAP gagal mentadbir Pulau Pinang”.

Menurut Annuar, Lim telah menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri yang gagal sepenuhnya.
Selepas kejadian banjir, Lim pada hari ini mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menawarkan bantuan mereka, termasuk pelbagai agensi persekutuan dan negeri.

Lihat Komen
ADS