Peguam Syarie dakwa speaker perlekeh kuasa sultan
Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang mendakwa tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang menolak usul memperkasakan dan memperkukuhkan institusi mahkamah syariah di negeri itu sebagai memperlekehkan kuasa Sultan Selangor.
Beliau dipetik oleh portal Utusan Malaysia sebagai berkata, tindakan menolak usul berkenaan draipada dibahas yang melibatkan aspek memperkasa struktur dan bidang kuasa perundangan serta tenaga manusia juga dianggap menafikan hak orang Islam di Selangor yang ingin melihat institusi mahkamah syariah diperkasakan.
“DUN sepatutnya memberi ruang kepada wakil-wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat untuk bercakap dan mempertahankan atau memperkasakan hak mereka terutama hak orang Islam yang merupakan sebahagian penduduk atau pengundi di negeri itu,” katanya kepada portal itu.
Justeru, kata Musa, penolakan usul berkaitan untuk dibahaskan tidak sepatutnya berlaku.
Menurutnya, mahkamah syariah di negeri itu adalah di bawah kuasa Sultan Selangor sebagaimana dalam peruntukan Seksyen 55 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 (Enakmen No. 1 Tahun 2003) yang memperuntukkan bahawa:
- Duli Yang Maha Mulia Sultan, atas nasihat Majlis, boleh melalui pemberitahuan dalam Warta menubuhkan Mahkamah-Mahkamah Rendah Syariah bagi Negeri Selangor di tempat-tempat yang difikirkan patut.
- Duli Yang Maha Mulia Sultan, atas nasihat Majlis, boleh melalui pemberitahuan dalam Warta menubuhkan suatu Mahkamah Tinggi Syariah bagi Negeri Selangor.
- Duli Yang Maha Mulia Sultan, atas nasihat Majlis boleh melalui pemberitahuan dalam Warta menubuhkan suatu Mahkamah Rayuan Syariah bagi Negeri Selangor.
Musa juga dipetik sebagai berkata, kuasa penubuhan adalah termasuk kuasa memperkasakan mahkamah syariah yang di bawah kuasa Sultan Selangor.
Usul memperkasa dan memperkukuhkan institusi mahkamah syariah dibawa oleh Datuk Sulaiman Abdul Razak (BN-Permatang) pada sidang DUN Selangor pada 6 November lalu.

