Untung sebelum cukai suku ke-3 Petronas Gas jatuh kepada RM532.64 juta
Petronas Gas Bhd mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM532.64 juta pada suku ketiga, turun 2.5 peratus berbanding RM546.29 juta dalam tempoh sama tahun lepas, disebabkan antara lain kos jualan utiliti yang lebih tinggi berikutan semakan meningkat harga gas bahan api.
Pendapatan untuk suku berakhir 30 September 2017 naik sedikit kepada RM1.16 bilion berbanding RM1.15 bilion sebelum ini, kata syarikat itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Kilang pemprosesan gas terus mencatat prestasi lebih 99 peratus kebolehpercayaan kilang dan prestasi pengekstrakan kilang cecair pemprosesan gas kekal melebihi sasaran.
“Segmen pengangkutan gas mengekalkan kebolehpercayaan rangkaian saluran paip hampir 100 peratus, membolehkan segmen itu mencatat hasil stabil untuk suku tersebut pada RM330.1 juta.
"Segmen tersebut menyumbang RM256.7 juta kepada kumpulan, turun sebanyak RM1.8 juta atau 0.7 peratus, terutama disebabkan kos pembaikan dan penyelenggaraan yang lebih tinggi," kata syarikat itu.
Harga jualan segmen utiliti untuk suku berkenaan meningkat seiring semakan menaik harga gas bahan api berkuat kuasa 1 Januari dan 1 Julai 2017.
Volum pengeluaran wap dan gas perindustrian, bagaimanapun merosot berbanding suku yang sama berikutan kejatuhan permintaan daripada pelanggan.
Berikutan harga yang lebih rendah, pendapatan utiliti untuk suku semasa meningkat RM4.6 juta atau 1.7 peratus kepada RM277.6 juta.
Katanya, pertambahan pendapatan, bagaimanapun diseimbangkan oleh kos jualan yang meningkat dengan semakan menaik gas bahan api dan susut nilai yang lebih tinggi berikutan penyelesaian beberapa projek modal.
Kemudahan regasifikasi kumpulan itu di Melaka terus mencatat kebolehpercayaan kilang yang tinggi melepasi 99 peratus pada suku di bawah kajian.
Segmen regafikasi mencatat hasil yang lebih tinggi sebanyak RM4.2 juta atau 2.6 peratus kepada RM167 juta, berbanding suku yang sama berikutan pendapatan yuran penyimpanan yang lebih tinggi dibantu pengukuhan dolar US berbanding ringgit.
“Segmen itu menyumbang RM73.6 juta, turun sedikit sebanyak RM2.7 juta atau 3.5 peratus berbanding suku yang sama berikutan pajakan dan sewaan unit penyimpanan terapung yang lebih tinggi serta susut nilai lebih tinggi selepas penyelesaian beberapa projek modal," kata kenyataan berkenaan.
Bagi tempoh sembilan bulan, keuntungan sebelum cukai meningkat 1.5 peratus kepada RM1.64 bilion berbanding RM1.62 bilion, manakala pendapatan berada pada RM3.5 bilion berbanding RM3.4 bilion sebelum ini.
Kumpulan itu berkata, prestasi dijangka kekal stabil di tengah-tengah persekitaran ekonomi yang mencabar dengan disokong aliran pendapatan yang kukuh daripada perjanjian pemprosesan gas, perjanjian pengangkutan gas dan perjanjian perkhidmatan regasifikasi sedia ada yang ditandatangani dengan Petronas.
- Bernama

