Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas akauntan didenda RM3,000 halang penjawat awam
Diterbitkan:  Nov 10, 2017 7:47 PM
Dikemaskini: 11:52 AM

Seorang wanita, yang rakaman videonya memarahi seorang anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) sambil mengacukan pengunci stereng kereta tular di laman sosial baru-baru ini, hari ini didenda RM3,000 atau penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret, di Petaling Jaya.

Majistret Salamiah Salleh menjatuhkan hukuman itu selepas Lew Yoke Peng, 43, menukar pengakuan kepada bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menghalang tugas penjawat awam iaitu Penguatkuasa MPSJ, Nor Safuan Noordin, 31, daripada menjalankan tugasnya di Jalan Puteri 1/4, Bandar Puteri, Puchong, dekat sini, pada 1 tengah hari, 6 September lepas.

Bekas akauntan itu didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang lebih berat kerana kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh adalah serius malah menghina undang-undang negara ini.

“Oleh itu, perlu satu bentuk hukuman yang dapat memberikan pengajaran ke atas tertuduh dan masyarakat agar tidak mencabar penguat kuasa dalam menjalankan tugas mereka,” katanya.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam, Lim Chi Chau merayu kepada mahkamah supaya anak guamnya dijatuhkan hukuman berbentuk denda sahaja dengan alasan sepanjang tempoh pemenjaraan tertuduh telah insaf dan berjanji tidak mengulangi perbuatannya lagi.

“Tertuduh juga mempunyai tanggungjawab yang besar untuk menjaga suaminya yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) bagi mendapatkan rawatan daripada hospital lebih daripada dua kali seminggu di samping menanggung ibu bapa yang uzur,” katanya.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh telah melakukan kesalahan meletak kereta di tempat letak kereta yang dikhususkan untuk OKU menyebabkan keretanya ditunda oleh pihak penguat kuasa MPSJ.

Kerana berang dengan tindakan pihak penguat kuasa MPSJ itu, tertuduh terus menjerit-jerit sambil memegang pengunci stereng kereta dan memarahi pegawai penguat kuasa yang bertugas.

Video rakaman yang menunjukkan wanita tersebut memegang pengunci stereng dan menjerit-jerit kepada penguat kuasa MPSJ itu tular di media sosial baru-baru ini.

Pada 30 Oktober  lepas, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 12 hari oleh Mahkamah Majistret di Petaling Jaya kerana menghina mahkamah dengan cara menjerit dan mengingkari arahan Majistret Nurulhuda Zakariya.

- Bernama



 

Lihat Komen
ADS