Hujan lebat menyebabkan banjir kilat berlaku di Pengerang, Hulu Langat, Gombak dan di Negeri Sembilan.
Di Johor Bahru, 42 mangsa banjir di Pengerang dekat Kota Tinggi dan Johor Bahru berada di pusat pemindahan sementara (PPS) malam tadi ekoran banjir kilat sejak semalam hingga petang semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor Datuk Ayub Rahmat berkata setakat 9.30 malam ini, tiga PPS dibuka yang menempatkan penduduk di Kampung Lepau di Pengerang, Kampung Laut Batu 10 dan Kampung Sungai Tiram Batu 19 dan Batu 20.
"Seramai empat orang daripada dua keluarga di Kampung Lepau ditempatkan di PPS Balairaya Kampung Lepau yang dibuka pada 6.30 petang tadi," katanya menerusi kenyataan malam tadi.
Ayub berkata seramai 18 orang daripada empat keluarga di Kampung Laut Batu 10, ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Batu 10 yang dibuka sejak 9 malam semalam manakala 20 orang membabitkan empat keluarga di Kampung Sungai Tiram Batu 19 dan 20 ditempatkan di PPS Balairaya Kampung Sungai Tiram yang dibuka 7 malam tadi.
Beliau berkata banjir kilat turut melanda Kampung Pasir di sini, petang tadi, namun, tiada pusat pemindahan dibuka.
Katanya proses pendaftaran di PPS Kampung Sungai Tiram masih berterusan setakat ini dan pemantauan oleh agensi berkaitan turut dilakukan.
Di Seremban, hujan lebat selama dua jam petang semalam mengakibatkan 11 rumah di Taman Jasper dan Taman Pulasan dinaiki air.
Pegawai Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia daerah Seremban Mohd Najib Abd Karim berkata di Taman Jasper seramai 32 mangsa termasuk seorang bayi lelaki daripada lapan keluarga terjejas manakala di Taman Pulasan pula 23 mangsa daripada lapan keluarga terlibat.
“Hujan lebat yang turun sejak 4 petang menyebabkan kawasan perumahan ini dilanda banjir kilat dan antara faktor lain ialah hakisan tebing sungai akibat penyelenggaraan tidak sempurna.
"Setakat ini pusat pemindahan bagi mangsa banjir tidak lagi dibuka dan keadaan masih terkawal serta air juga sudah mulai surut," katanya dalam kenyataan semalam.
Sementara itu, beberapa kawasan di pusat bandar Seremban juga dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat petang semalam.
Penolong Pengarah (Operasi) Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata hujan lebat serta air yang melimpah daripada sistem perparitan di kawasan itu telah menyebabkan banjir kilat.
Beliau berkata tiada mangsa banjir yang dipindahkan dan mangsa yang terperangkap di dalam kereta ketika banjir tersebut, berjaya keluar sendiri dalam keadaan selamat.
"Seramai 13 anggota berserta pegawai bergegas ke tempat kejadian selepas mendapat panggilan kecemasan dan tiba 10 minit kemudian dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban dan Senawang," katanya.
Tinjauan Bernama mendapati air telah mulai surut kira-kira 6 petang semalam dan keadaan lalu lintas di kawasan tersebut terkawal.
Di Kuala Lumpur, hujan lebat lebih dua jam di ibu negara petang semalam menyebabkan beberapa kawasan di Gombak dilanda banjir kilat.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata beberapa kawasan termasuk Batu 7 ½ Hulu Kelang dan Kampung Sungai Pusu dinaiki air di antara 0.2 hingga 0.5 meter selepas hujan kira-kira 4 petang semalam.
"Hujan lebat di kawasan terbabit menyebabkan air Sungai Klang melimpah ke kawasan rumah berhadapan dengan sungai.
"Kira-kira empat rumah terjejas kerana air naik di perkarangan rumah namun tiada mangsa yang dipindahkan," katanya ketika dihubungi semalam.
Sementara itu, Mohd Sani berkata hujan lebat itu turut mengakibatkan tebing di sebatang jalan di Taman Mulia Jaya, Ampang dekat sini, runtuh.
"Kejadian kira-kira 5.30 petang itu mengakibatkan sebuah kereta Proton Wira rosak akibat dihempap tanah. Tiada mangsa dilaporkan cedera," katanya.
Di Hulu Langat, seramai 82 mangsa daripada 22 keluarga dari Kampung Sungai Tekali, ditempatkan di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan (SK) Sg Serai dekat sini, malam ini berikutan banjir kilat.
Menurut Mohd Sani Harul hujan lebat lebih dua jam sejak 4 petang semalam menyebabkan beberpa kawasan di Hulu Langat dilanda banjir kilat.
Katanya, antara kawasan lain yang terjejas di Hulu Langat ialah Kampung Pasir, Kampung Sungai Pening dan Kampung Seri Nanding.
"Pusat pemindahan di Kampung Sungai Tekali dimasuki air dan kesemua mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan SK Sg Serai," katanya ketika dihubungi malam tadi
Mohd Sani berkata kawasan terjejas dinaiki air sehingga 0.3 meter dan keadaan itu masih tidak berubah setakat 10 malam tadi
"Pihak bomba akan memantau situasi ini dari semasa ke semasa," katanya.
Terdahulu, Bernama melaporkan beberapa kawasan di Gombak turut dilanda banjir kilat ekoran hujan lebat lebih dua jam di ibu negara petang tadi dengan kawasan terjejas termasuk Batu 7 1/2 Hulu Kelang dan Kampung Sungai Pusu dinaiki air 0.2 hingga 0.5 meter.
- Bernama
