Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda Gerakan dakwa DAP tak peduli pandangan rakyat
Diterbitkan:  Nov 11, 2017 2:52 PM
Dikemaskini: 7:22 AM

Pemuda Gerakan hari ini menempelak kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP kerana didakwanya tidak memberi perhatian penuh kepada kebimbangan masyarakat terutamanya berkaitan alam sekitar.

Ketua Pemuda Gerakan Tan Keng Liang berkata kesukaran yang dihadapi penduduk dalam kejadian banjir dan tanah runtuh yang berlaku di negeri itu baru-baru ini didakwanya adalah hasil daripada sikap tidak mendengar kebimbangan yang disuarakan rakyat.

“Penduduk Pulau Pinang telah berulang kali menyatakan kebimbangan mereka berhubung pembangunan yang tidak terkawal terutama di lereng bukit. Ini termasuk bantahan daripada wakil rakyat Tanjung Bungah Teh Yee Cheu,” katanya ketika berucap pada mesyuarat agung tahunan parti komponen Barisan Nasional (BN) itu di ibunegara hari ini.

Beliau turut mendesak kerajaan negeri mendedahkan bilangan projek pembangunan yang telah diluluskan walaupun dibantah Jabatan Alam Sekitar.

Keng Liang seterusnya mendakwa banyak janji yang dibuat pembangkang kononnya untuk kesejahteraan rakyat tidak dikotakan.

Sementara itu, Ketua Wanita Gerakan Datuk Tan Lian Hoe dalam ucapannya menggesa masyarakat Cina supaya kembali kepada BN pada PRU14.

Katanya insiden banjir di Pulau Pinang wajar mencelikkan mata semua pihak bahawa pembangkang tidak mampu mengotakan janji yang dibuat.

Beliau menggesa rakyat supaya tidak lagi termakan dengan hasutan dan fitnah DAP yang didakwanya sering memutar belit fakta bagi menutup kelemahannya.

Menurut Lian Hoe, pembangkang kini semakin gentar dan runsing serta berasa terancam melihat kejayaan pelbagai program transformasi yang direalisasikan kerajaan BN di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak termasuk dalam sektor pengangkutan, perumahan dan pengukuhan fiskal negara.

“Semua ini sudah tentunya memberi ancaman dan tamparan hebat kepada Pakatan Harapan yang terpaksa memerah otak mencari jalan menggagalkan usaha murni kerajaan untuk membantu rakyat khususnya mengurangkan kos sara hidup dan membuka peluang pekerjaan serta perniagaan,” katanya.

Mesyuarat agung tahunan kedua-dua sayap itu dirasmikan serentak oleh Timbalan Presiden Gerakan Dr Cheah Soon Hai.

- Bernama

Lihat Komen
ADS