Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu hari ini mendakwa timbalannya, Datuk S.Subramaniam mengadakan "perang proksi" untuk merampas pucuk pimpinan parti daripadanya.

Menurut Samy Vellu, seterunya itu telah melakukan ini sejak gagal menumbangkan beliau dalam perebutan yang berlaku pada 1989 bagi jawatan presiden.

"Beliau selama ini telah menjalankan kempen secara senyap-senyap menerusi akhbar harian Malaysia Nanban (Tamil) yang dimiliki oleh rakan karibnya," kata Samy Vellu selepas menyempurnakan upacara pecah tanah kuil Sri Maha Mariamman di Puchong dekat sini.

Menurut laporan Bernama, Samy Vellu berkata Malaysia Nanban telah mencetuskan "kekeliruan dan masalah" dalam MIC dan politik masyarkat India.

Terdapat kempen senyap-senyap secara dalaman bersama pihak tertentu dengan ada pihak menghantar mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada para penyokong Subramaniam untuk meraih sokongan.

"Mereka berharap bahawa SMS ini akan dihantar kepada yang lain dan akan mendapat sebanyak simpati yang mungkin," katanya.

Samy Vellu juga berkata presiden parti berhak memilih calonnya sebagai timbalan untuk bertanding bagi pelbagai jawatan dalam parti itu yang akan menyaksikan pemilihan pada Jun depan.

"Ia hak demokratik presiden dan perwakilan yang mempunyai kata putus sama ada untuk mengundi bagi pasukan presiden atau tidak," katanya dan menambah kata beliau telah "hampir memutuskan" mengenai siapa calon pilihannya bagi jawatan timbalan presiden.

Sementara itu, Subramaniam ketika dihubungi TV3, menyatakan yang beliau tidak terperanjat dengan kenyataan yang dibuat Samy itu.

Bagaimanapun, katanya, beliau akan membuat kenyataan mengenainya esok.