Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images

LAPORAN KHAS | Tengah hari Khamis lalu, penduduk Taman Free School di Pulau Pinang mula membersihkan rumah dan kedai mereka yang rosak teruk akibat banjir yang melanda beberapa hari sebelumnya.

Tilam, kusyen dan perabot kayu berbaris di tepi jalan, menunggu untuk dihantar ke tempat pelupusan oleh pekerja Majlis Bandaraya Pulau Pinang.

Seperti penduduk di kawasan lain negeri itu, harta benda mereka seperti kereta dan barangan elektrik bernilai ribuan ringgit rosak akibat banjir pada 4 November lalu, dikatakan antara yang terburuk pernah melanda Pulau Pinang.

Lim Eng Heong, 65 tahun, mundar-mandir di kedainya di flat Taman Free School, memeriksa barangannya yang rosak akibat air yang masuk. Dia menjalankan perniagaan menjual barangan sembahyang Cina.

Dia kemudian mengambil sekotak berisi kertas sembahyang, dan meletakkannya di atas timbunan barangan rosak di luar kedai.

"Itu duit. Saya buang duit," katanya kepada Malaysiakini. Senyuman pahit terukir di wajahnya.

"tengoklah barang-barang saya, ini semua 'ilek pochek' (semua sudah tak berguna)," katanya, sambil menunjuk ke arah kotak-kotak colok yang rosak.

Dia hanyalah seorang daripada ribuan penduduk Pulau Pinang yang terjejas teruk dan terpaksa membina semula kehidupan ekoran bencana yang melanda.

Lebih malang, kerugiannya itu tidak akan dibayar pampasan kerana rumah dan kedainya tidak dilindungi insurans.

Malang berganda

Menyeberangi Selat Pulau Pinang, di Bukit Mertajam, Amizudin Ahmat, 48 tahun, dan isterinya Hamizah Che Amat, 46 tahun, memeriksa dapur di rumah mereka, yang semalamnya masih lagi dimasuki air.

Hamizah mengeluh melihat barangan yang digunakannya untuk membuat kek dan biskut habis rosak. "Kalau ada bahan pun bukan boleh buat, oven pun dah rosak."

Di sebuah bilik di rumahnya, tersimpan stok bendera parti politik milik Amizudin yang dicetaknya pada 2013.

Dia baru sahaja berniat untuk menjual bendera tersebut, namun sekarang sudah tidak boleh lagi memandangkan warnanya sudah pudar dan rosak.

Bagi mereka, banjir ini merupakan kemalangan berganda memandangkan rumah mereka baru sahaja ditimpa banjir kira-kira dua bulan lalu.

"Bantuan (dari kerajaan negeri) yang sebelum ini pun belum dapat lagi," kata Amizudin, sambil mengakui pihak berwajib memerlukan masa untuk menilai setiap permohonan.

Dia yang pernah menjadi calon PKR pada Pilihan Raya Umum 2004 di Dewan Undangan Negeri Bayan Lepas itu berkata, walaupun memahami keadaan itu, dia tetap bimbang ada penduduk yang akan marah kepada kerajaan negeri ekoran kelambatan tersebut.

Bagi banjir kali ini, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mengumumkan setiap penduduk yang terjejas akan menerima bantuan RM500.

Namun, nilai itu terlampau sedikit jika dibandingkan dengan kerugian yang ditanggung mereka.

Anak-anak paling utama

Tidak terkecuali menanggung kerugian adalah Sapno Tukijo, bilal Surau Taman Free School yang menjadi 'wira' selepas menjadikan suraunya tempat berlindung 70 penduduk bukan Islam di saat arus banjir melanda deras di sana.

Sapno mencari rezeki dengan menjadi kontraktor membaiki dan mengubahsuai rumah. Pada malam itu, kebanyakan peralatan kerjanya mencecah RM40,000 rosak teruk.

"Barang saya (yang rosak) sahaja sudah RM40,000. Saya cuba selamatkan dan kalau ada yang masih boleh dipakai, tapi kalau 'meletup', kena buanglah," katanya yang berkata memerlukan masa untuk menggantikan peralatannya itu.

Pada peringkat awal, katanya lagi, dia mungkin perlu meminjam peralatan bagi melakukan kerjanya.

Namun bapa kepada enam anak itu tiada banyak pilihan, apatah lagi tiga anaknya kini berada di universiti dan memerlukan sokongan kewangan daripadanya.

"Ada pinjaman PTPTN tetapi tak cukup. Kadang-kadang mereka telefon saya, cakap hanya tinggal RM5, jadi saya sebagai bapa kena usaha untuk mereka," katanya lagi.

Banjir pada hujung minggu lalu dilaporkan berpunca daripada hujan lebat dan taufat akibat gangguan tropika 'Invest 95W'. Sejumlah tujuh nyawa terkorban dan menjejaskan 5,000 orang di 80 peratus kawasan negeri.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS