Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkenaan banjir Pulau Pinang sebagai "petanda Tuhan" hanya untuk mengingatkan bahayanya pembangunan tak terkawal, kata Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong.

"Saya tafsirkannya begini: Kita perlu menjaga alam sekitar dan semulajadi, jika kita tidak menjaganya, alam akan menunjukkan reaksinya.

"Bukan sahaja di Pulau Pinang, tetapi di mana sahaja di dunia ini. Maka kita perlu sentiasa menjaga alam sekitar dan mengelak daripada pembangunan yang berlebihan," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan Gerakan, di Kuala Lumpur hari ini.

Mah ditanya sama ada beliau menyokong kenyataan Zahid dalam ucapannya pagi tadi, bahawa banjir yang menimpa Pulau Pinang hujung minggu lalu adalah "petanda Tuhan" untuk BN merampas kembali negeri itu pada pilihan raya umum (PRU) ke-14.

“Tidak mustahil. Perkara ini boleh berlaku. Tuhan telah menurunkan bala kepada mereka yang menabik dada kononnya Pulau Pinang bebas dari banjir.

"Apa yang berlaku adalah sesuatu yang Tuhan tunjukkan, bahawa inilah waktu terbaik untuk kita ambil balik kerajaan Pulau Pinang," kata Zahid.

Banjir 4 November lalu dikatakan antara yang terburuk pernah melanda negeri itu, dan telah mengorbankan 7 nyawa.

[Berita lanjut menyusul]

Lihat Komen
ADS