DAP mengekalkan hampir semua anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) lalu dalam pemilihan semula dengan pemimpin veteran parti itu, Lim Kit Siang memperoleh undi terbanyak.

Dua tokoh yang tidak termasuk dalam senarai pemilihan semula - yang dibuat ekoran arahan Pendaftar Pertubuhan (ROS) - hari ini ialah Boo Cheng Hau dan mendiang Karpal Singh.

Boo memperoleh 384 undi dan tidak memadai untuknya menempatkan diri dalam 20 anggota yang mendapat undi tertinggi.

Karpal pula meninggal dunia dalam kemalangan kereta pada 2014. Begitu pun tokoh yang digelar Harimau Jelutong itu tetap mendapat undi dalam pemilihan hari ini.

Karpal memperoleh 43 undi.

Dua pemimpin baru yang terpilih menganggotai CEC kali ini ialah bekas exco Selangor Ronnie Liu (yang memperoleh 688 undi) dan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, V Sivakumar (586 undi).

Berikut keputusan pengundian yang dijalankan di Shah Alam:

  1. Lim Kit Siang – 1,199
  2. Gobind Singh Deo – 1,198
  3. Lim Guan Eng – 1,180
  4. Anthony Loke – 1,175
  5. Liew Chin Tong – 1,123
  6. Teo Nie Ching – 1,080
  7. Chong Chieng Jen – 1,057
  8. Teresa Kok – 1,033
  9. Tan Kok Wai – 1,021
  10. Tony Pua – 1,020
  11. Nga Kor Ming – 967
  12. Fong Kui Lun – 949
  13. Chow Kon Yeow – 900
  14. M Kulasegaran – 826
  15. Chong Eng – 734
  16. Teng Chang Khim – 702
  17. Ronnie Liu – 688
  18. Ngeh Koo Ham – 659
  19. Zairil Khir Johari – 649
  20. V Sivakumar – 586

Sementara itu apabila senarai anggota lantikan CEC diumumkan, kebayakan pemimpin terpilih pada 2013 digugurkan untuk diganti dengan orang baru.

Antara tokoh yang diketepikan ialah Anggota Parlimen (MP) Kepong, Tan Seng Giaw; Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy, Arrifin Omar, MP Kota Kinabalu Jimmy Wong, Vincent Wu dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanah Rata, Leong Ngah Ngah.

ADUN Kapayan, Edwin Bosi, turut dilantik menganggotai CEC pada 2013 dan dia mengumumkan keluar daripada DAP pada Ogos lalu.

Nama baru yang dilantik menjadi sebahagian daripada CEC kali ini ialah Tengku Zulpuri Shah Raja Puji (ADUN Mentakab), Stephen Wong (MP Sandakan), Jannie Lasimbang (bekas anggota Suruhanjaya Hak Asasi Manusia - Suhakam), Khoo Poay Tiong (ADUN Ayer Keroh), Ong Kian Ming (MP Serdang), Wong Kah Woh (Ketua Pemuda) Hannah Yeoh (Speaker DUN Selangor) dan Yeo Bee Yin (ADUN Damansara Utama).

Kedudukan Thomas Su dan John Brian Anthony yang sebelum ini memang berada dalam CEC pula dikekalkan.

Ketika ditanya mengenai perkembangan itu Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke berkata ia adalah sebahagian daripada proses peremajaan parti.