Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KDN: China bawa masuk pelaburan, bukan komunisme
Diterbitkan:  Nov 13, 2017 9:51 AM
Dikemaskini: 6:26 AM

PARLIMEN l Kerajaan menegaskan hubungan Malaysia dengan China hanya bertumpu kepada pelaburan dan perdagangan dan tidak melibatkan ideologi komunisme yang diamalkan negara itu.

Dalam jawapan bertulis parlimen bertarikh 6 November, Kementerian Dalam Negeri berkata, ini kerana ideologi itu terhad kepada sistem politik dan pemerintahan China.

"Justeru kerajaan tidak menganggap ideologi komunis yang diamalkan di China sebagai ancaman kepada negara.

"Sehingga kini, Malaysia dan China mempunyai hubungan yang cukup erat di mana China adalah antara rakan dagang yang penting dan terbesar bagi Malaysia," kata kementerian itu.

Ko Chung Sen (Kampar-DAP) meminta kerajaan menjelaskan sama ada Malaysia akan mengisytiharkan China dan Parti Komunis yang memimpin negara itu sebagai sekutu pelaburan dan bukannya sebagai ancaman kepada negara.

Kementerian Dalam Negeri berkata, China tidak melibatkan ideologi komunis dalam mana-mana hubungan dua hala dengan negara lain, termasuk Malaysia.

"Namun seperti mana hubungan dua hala antara Malaysia dengan negara lain, isu keselamatan tetap diberi perhatian bagi mengelakkan kemungkinan yang boleh menggugat kedaulatan dan kepentingan strategik negara," kata kementerian itu lagi.

Pada Oktober lalu, terdapat desas-desus wakil Umno akan diberikan peluang untuk berucap pada Kongres Nasional Parti Komunis China (CPC) namun ia tidak terlaksana.

Menurut laporan Bernama, setakat November 2016, dagangan dua hala antara Malaysia dan China mencecah RM170.6 bilion sepanjang tahun itu, meningkat 1.3 peratus berbanding tempoh sama pada tahun sebelumnya.

Lihat Komen
ADS