'Kos ECRL kekal RM55 bilion'
PARLIMEN l Kerajaan menegaskan kos bagi projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) kekal RM55 bilion, walaupun ada dakwaan ia akan meningkat sehingga RM70 bilion.
Ia berdasarkan The Edge Markets bulan lalu, yang melaporkan kenaikan itu selepas mengambil kira kos tambahan seperti pengambilan tanah dan pembinaan landasan berkembar sepanjang 688 km dari Pelabuhan Klang, Selangor ke Pengkalan Kubor, Kelantan
"Kos ECRL melibatkan pembinaan landasan keretapi dan kos sampingan lain seperti kejuruteraan untuk kelajuan rekabentuk, pembangunan stesen, kemudahan infrastruktur adalah RM55 bilion seperti yang diketahui umum," kata Kementerian Kewangan dalam jawapan parlimen bertarikh 9 November 2017.
Ngeh Koo Ham (Beruas-DAP) meminta kementerian kewangan menjelaskan pihak yang memberikan dana untuk projek itu, jumlah dana tersebut serta bagaimana kerajaan akan membayarnya semula.
Kementerian kewangan berkata, 85 peratus daripada kos projek akan dibiayai pinjaman mudah daripada Bank Exim China yang dijamin kerajaan manakala baki 15 peratus melalui sukuk atau bon Islamik yang diutuskan institusi kewangan tempatan.
"Struktur pembiayaan ini akan menjimatkan kos pembiayaan syarikat melalui kadar faedah yang kompetitif, manakala kupon untuk terbitan sukuk tempatan ditentukan berdasarkan pasaran semasa," kata kementerian.
Berhubung pembayaran semula, kementerian berkata ia akan dibuat menerusi pendapatan daripada operasi ECRL seperti kutipan tambang penumpang dan perkhidmatan kargo, dan pendapatan bukan operasi seperti pengkiklanan dan peruncitan.
Pada minggu lalu, kementerian itu mengesahkan projek tersebut hanya akan menampilkan aturan landasan tunggal.
Namun trek keretapi itu akan dibina di atas 'formasi dua landasan', menurut jawatan bertulis parlimen kementerian itu.
[Berita penuh menyusul]

