Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno: Kalau parti pelbagai kaum kenapa DAP tak pilih Melayu?
Diterbitkan:  Nov 13, 2017 12:26 PM
Dikemaskini: 4:30 AM

Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa mendakwa keputusan pemilihan semula jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) DAP sekali lagi melondehkan parti itu bukanlah parti pelbagai kaum.

Sebaliknya, tanpa menyebut masyarakat Cina, beliau berkata, DAP dibarisi dan dikuasai kaum tertentu sahaja dalam barisan kepimpinan mereka.

“Lim Kit Siang boleh kelentong DAP parti pelbagai kaum... sekarang apa jadi. Kalau DAP pelbagai kaum kenapa tidak pilih Melayu...

“Oh, dia kata ada seorang iaitu Zairil (Khir Johari)..., tidak apalah kita terima Zairil seorang tetapi kedudukannya nombor 19 dan nombor 20 India,” kata Annuar yang dipetik oleh portal Umno Online.

Annuar juga mempersoalkan bahawa sepanjang 50 tahun DAP bertanding dalam pilihan raya di negara ini, berapa ramai calon Melayu dan Islam yang menjadi wakil rakyatnya.

“DAP 50 tahun lebih masuk pilihan raya tetapi berapa orang Melayu Islam yang telah jadi wakil rakyatnya... baru 10 orang.

“Berbanding dengan BN dan Perikatan, satu pertiga daripada wakil rakyat kita terdiri daripada bukan Melayu dan bukan Islam.

“Malah dah beribu jadi wakil rakyat, jadi menteri, jadi speaker, timbalan speaker dan sebagainya di bawah konsep yang kita laksanakan,” katanya.

Justeru beliau mempersoalkan sama ada rakyat sanggup menukar kepada parti yang berkawan dengan DAP.

Seteru DAP, terutamanya Umno dan PAS, sering menggambarkan parti itu sebagai ancaman kepada kedudukan istimewa orang Melayu dan Islam.

Walau bagaimanapun, pemimpin DAP berulang-kali menafikan dakwaan itu.

Lihat Komen
ADS