Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Saya tetap walak pada PM, kata Zamihan
Diterbitkan:  Nov 13, 2017 1:30 PM
Dikemaskini: 5:57 AM

Penceramah kontroversi Zamihan Mat Zin mendakwa video ceramahnya yang dikatakan menghina perdana menteri telah disunting untuk “mentohmah dan memfitnahnya”.

“Kononnya saya melakukan penghinaan kepada YAB PM berhubung isu penubuhan KSCIP (Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP)) di Putrajaya. Sebenarnya tidak sama sekali.

“Saya cukup menghormati YAB Datuk Sri Mohd Najib (Razak) sebagai pemimpin nombor satu negara. Walak saya tetap bersama beliau sebagai government of the day (kerajaan semasa),” katanya.



 

Selepas kontroversi orang bukan Islam berteduh di surau ketika banjir, muncul pula video Zamihan yang mengkritik Najib sebagai bertindak "kurang cerdik" dengan membenarkan pembinaan KSCIP atas tanah 16 hektar di Putrajaya.

Zamihan berkata cadangan tidak realistik kerana sudah banyak institusi keselamatan dalam negara.

Malah, dakwanya, Arab Saudi dan keluarga dirajanya sendiri yang melahirkan IS dan tidak dapat memulihkan tahanan pengganas itu di negara mereka.

Tidak seperti sebelum ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) semalam telah menyatakan kekecewannya dengan Zamihan yang dilihat terus-terusan memperlekehkan amaran dan nasihat pelbagai pihak terhadap kenyataan-kenyataannya.

'Kritik bukan hina'

Menulis di Facebook semalam, Zamihan menjelaskan bahawa memberi pendapat atau mengkritik tidak bererti menghina.

“Tak setuju tak mengapa. Namun kuasa mutlak tetap berada di tangan pemerintah,” katanya dalam tulisan bertajuk “awasi taktik kotor media liberal”.

Berkaitan ceramah itu, Zamihan berkata, ia adalah pengajian kitab Sifat Solat Nabi yang Sahih sepanjang 1 jam, 30 minit dan 19 saat tetapi “sengaja diedit dan ditularkan semula menjadi 2 minit 27 saat”.

“Motifnya jelas bagi melaga-lagakan saya dengan para pemimpin negara.

“Bertaqwalah kepada Allah dan berlaku adillah dalam menilai sesuatu berita,” katanya.

Beliau juga berkata ceramah itu diadakan Julai lalu dan bukan selepas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi berkaitan kepakarannya sebagai jurupulih pengganas IS di penjara.

Zamihan juga mengingatkan bahawa hadis menyebut golongan pemfitnah dan pengadu domba tidak layak masuk syurga.

“Kesimpulannya, jika tiada fakta janganlah melakukan auta.

“Atau melakukan taqawwul (pembohongan) ke atas saya. Saya tidak teragak-agak untuk membuat laporan polis dan mengambil tindakan saman ke atas pemfitnah berkenaan,” katanya.

Zamihan adalah pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang dipinjamkan kepada KDN dan ditempatkan di Jabatan Penjara Malaysia sebagai pegawai pemulihan pengganas.

Presiden Persatuan Ahli Sunnah Wal Jamaah (Aswaja) itu juga dilantik sebagai penolong setiausaha kanan Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam KDN.

Zamihan sebelum ini ditahan reman dua hari bagi membantu siasatan mengikut Akta Hasutan 1948 kerana kenyataannya yang didakwa mengkritik sultan Johor berhubung titah mengenai kedai dobi khusus Muslim saja.

Lihat Komen
ADS