Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Isu tudung bukti perlunya akta antidiskriminasi'
Diterbitkan:  Nov 13, 2017 2:29 PM
Dikemaskini: 6:37 AM

Isu sebuah hotel melarang pekerja kaunter depannya bertudung boleh dielakkan jika terdapat akta antidiskriminasi individu berdasarkan latar belakang.

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berkata keadaan mungkin tidak sama jika kerajaan mengharamkan dasar, peraturan dan amalan yang membeza-bezakan jantina, kaum, agama dan kelainan upaya.

“Saya akan terus berkempen supaya satu undang-undang yang menjamin keadilan kepada semua pekerja dikuatkuasakan dengan harapan sebarang tindakan yang tidak membenarkan seorang pekerja memakai tudung dikenakan hukuman yang setimpal kerana telah mendiskriminasi seorang pekerja atas sebab agama,” katanya.

Larangan itu dibangkitkan oleh Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (Uni-MLC) baru-baru ini.

Mereka juga berkata larangan serupa dikenakan terhadap pelajar yang menghadiri kursus perhotelan dan pelancongan apabila membuat permohonan latihan praktikal.

PAS dan Mufti Perlis Datuk Seri Asri Zainul Abidin antara pihak yang tampil membantah tindakan hotel itu.

Persatuan Hotel Malaysia (MAH) bagaimanapun mempertahankan tindakan hotel itu atas alasan ia adalah sebahagian daripada dasar antarabangsa.

Edar cadangan akta

Dalam kenyataannya hari ini, Rafizi berkata beliau telah pun memperincikan pandangan berkaitan akta itu dalam bukkunya Panduan Bina Semula Negara, yang merangkumi cara melaksanakannya.

Antara kandungan buku itu, kata Rafizi:

  • Akta itu boleh dinamakan “Akta Keadilan Peluang Kerja dan Kerjaya”.
     
  • Diskriminasi secara langsung atau tidak langsung diharamkan dan dikenakan hukuman.
     
  • Diskriminasi tidak langsung merujuk kepada peraturan yang nampak sama kepada semua pekerja tetapi mendatangkan kesan yang lebih negatif. Contohnya, seorang pekerja dipecat atas alasan selalu lewat ke mesyuarat tetapi mesyuarat dijadualkan semasa berlangsungnya tanggungjawab agama (seperti sembahyang Jumaat atau waktu ke gereja).
     
  • Penubuhan Suruhanjaya Keadilan dan Kepelbagaian Peluang Kerjaya (SKKPK) bagi menguatkuasakan undang-undang itu.
     
  • SKKPK diberi kuasa menggubal peraturan, mengawal selia dan menjadi timbang tara untuk memastikan majikan tidak mengamalkan diskriminasi.

Rafizi berkata akan mengedarkan kertas cadangan akta itu kepada anggota-anggota parlimen yang sedang bersidang daripada semua parti untuk mendapat sokongan mereka dalam tempoh seminggu.

“Jika ada sokongan ramai anggota parlimen yang merentasi parti dan kaum, saya percaya ia perlu diangkat oleh menteri sumber manusia untuk dijadikan asas sebuah undang-undang dan dibentangkan di parlimen secepat mungkin,” katanya.

Lihat Komen
ADS