Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Tiada etnik Rohingya di Malaysia terlibat keganasan'
Diterbitkan:  Nov 13, 2017 3:41 PM
Dikemaskini: 7:46 AM

PARLIMEN | Hampir semua kes jenayah yang dilakukan pendatang asing sepanjang 2017 melibatkan warga Myanmar, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim.

Beliau berkata, sebanyak 82 kes jenayah melibatkan pendatang asing, dan 78 daripadanya dilakukan warga Myanmar iaitu 30 kes bagi jenayah kekerasan dan 48 kes jenayah harta benda.

"Dari segi ancaman terhadap keselamatan negara, tiada data khusus mengenai rekod jenayah oleh etnik Rohingya.

"Polis hanya merekodkan kes jenayah warga asing mengikut negara, bukannya etnik," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Namun, katanya lagi, polis setakat ini tidak mengesan etnik Rohingya di negara ini terlibat dalam kegiatan keganasan.

Shahidan menjawab soalan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (Bagan Serai-BN) berhubung langkah kerajaan bagi menangani penganiayaan terhadap etnik itu, jumlah mereka di Malaysia serta sama ada ia memberikan ancaman kepada keselamatan negara.

Shahidan memberi jaminan pihak berkuasa akan membuat pemantauan berterusan bagi memastikan etnik Rohingya tidak terlibat dalam mana-mana unsur keganasan.

Menurut data Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR), Setakat 30 September 2017 seramai 62,153 etnik Rohingya berada di Malaysia.

Rekod UNHCR setakat Februari 2017 pula menunjukkan Selangor menjadi negeri yang memiliki paling ramai ertnik itu dengan jumlah 13,135 orang.

Ia diikuti dengan Pulau Pinang (10,380) dan Kedah (6,633).

Lihat Komen
ADS