Isteri perdana menteri Malaysia, Datin Seri Rosmah Mansor hari ini menyertai isteri para pemimpin yang menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-31, pada program lawatan ke pameran "ASEAN at 50: Power as Flow".

Pameran itu yang diadakan di Little Theater, Pusat Kebudayaan Filipina (CCP), mempamerkan pelbagai artifak, gambar dan teks tentang sejarah penduduk daripada Asia Tenggara.

Ketibaan mereka di pusat itu disambut Pengerusi CCP Emily A. Abrera dan Naib Presiden yang juga Pengarah Artistik CCP Chris B. Millado.

Selepas lawatan itu, mereka dihiburkan oleh dua kumpulan koir kanak-kanak iaitu Kilyawan Boys Choir dan Voces Aurorae Girl Choir.

Kemudiannya isteri pemimpin berkenaan diraikan pada majlis makan tengah hari yang dihoskan oleh Presiden Filipina Rodrigo Duterte dan pasangannya Honeylet Avanceña.

- Bernama