Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Khalwat, poligami tanpa izin antara kes syariah tertinggi di Selangor
Diterbitkan:  Nov 13, 2017 6:34 PM
Dikemaskini: 10:37 AM

Khalwat, judi, poligami tanpa izin dan perceraian adalah antara kesalahan paling tinggi disabitkan di mahkamah syariah di Selangor.

Dalam jawaban bertulis di Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini, sebanyak 8,435 orang disabitkan kesalahan berkhalwat di antara 2008 hingga Sept lalu.

Bagi kesalahan berjudi 1,604 orang disabitkan oleh mahkamah, manakala nikah tanpa izin

Untuk kes perkahwinan yang menyalahi undang-undang keluarga Islam seramai 2,414 orang disabitkan, manakala 1,973 didapati bersalah bagi kategori bercerai tanpa kebenaran mahkamah.

Bagi kes berpoligami tanpa izin mahkamah, sebanyak 1,753 kes disabitkan.

Satu lagi kesalahan jenayah syariah yang tinggi ialah bagi kategori "subahat" namun data yang dikemukakan itu tidak menjelaskan dengan lebih lanjut kesalahan berkenaan.

Maklumat itu dibentangkan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali yang menjawab soalan Anggota Dewan Undangan Negeri Kampung Tunku, Lau Weng San.

Dalam soalannya Lau bertanya bilangan pesalah yang didakwa di mahkamah syariah mengikut Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 sejak 2008.

Berdasarkan statistik itu jumlah sabitan di mahkamah syariah negeri ialah sebanyak 22,645 kes.

Kesalahan lain yang menunjukkan jumlah tinggi ialah kegagalan hadir di depan pegawai nikah, cerai dan rujuk iaitu 628 kes, persediaan bersetubuh luar nikah (401), bersetubuh luar nikah (261), persediaan melakukan kesalahan di bawah undang-undang syarak (204) dan tidak mengormati Ramadan (146).

Lihat Komen
ADS