Paling Popular
Terkini

ULASAN | Pakatan Harapan (HARAPAN) Johor diharapkan agar tidak terlalu ghairah dalam berdepan dengan BN di Johor menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-14 tidak berapa lama lagi.

Pendekatan ‘Gung Ho’ dengan kempen popular boleh memberi kesan sebaliknya kerana sikap masyarakat Johor yang cukup berhati-hati dalam membuat pilihan.

Dalam beberapa kes yang melibatkan ketirisan, kecuaian dan kelemahan kerajaan negeri, rakyat dilihat masih tenang dan tidak gusar dengan prestasi lemah kerajaan BN pimpinan Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin.

Isu-isu seperti kos sara hidup daripada impak GST, masalah bekalan air bersih serta peluang pekerjaan, masih terus membelenggu hidup rakyat di Johor.

Namun rakyat masih belum menunjukkan tanda-tanda mahu melakukan perubahan radikal untuk menukar kerajaan negeri buat kali pertama dalam sejarah politik moden Johor.

Kes rasuah berprofil tinggi yang belum pernah berlaku di negeri Johor, yang turut melibatkan bekas kakitangan kerajaan negeri juga belum menunjukkan tanda-tanda bahawa rakyat bersedia untuk mendesak kerajaan melakukan reformasi yang lebih menyeluruh.

Sikap dan persepsi rakyat sebegini harus dipandang secara serius dan berhati-hati oleh pimpinan Pakatan Harapan Johor agar dapat merumus pendekatan kempen yang lebih bijak dan berkesan.

Pada masa yang sama, BN Johor dilihat menumpukan kempen mereka kepada populariti menteri besar Johor walaupun rakyat tahu bahawa masalah kepimpinan di Johor begitu meruncing.

Penggantungan populariti Khaled oleh BN Johor mungkin memberi kelebihan kepada mereka, tetapi ia juga boleh menjadi sebaliknya jika HARAPAN bijak menukar kelebihan BN itu kepada peluang besar untuk HARAPAN Johor menukar kerajaan.

HARAPAN Johor harus lebih sensitif dalam memahami pemikiran politik rakyat dan kakitangan kerajaan negeri Johor. Saya percaya, rakyat dan kakitangan awam di Johor lebih matang.

Dalam merangka tawaran manifesto dan perubahan dasar yang baru, sikap rakyat harus diambil kira. Kita tidak boleh menganggap, pemikiran kita lebih penting.

HARAPAN Johor harus mengelakkan politik dalaman, menghindar konflik kepentingan peribadi atau kepartian.

Menerusi pendekatan politik yang lembut dan halus, ia boleh mencairkan persepsi negatif dan menukarnya menjadi satu keyakinan baru. Perubahan hanya akan berlaku apabila masanya telah tiba.

Sikap politik rakyat khususnya kaum Melayu adalah 'ibarat api dalam sekam', 'diam-diam ubi berisi'.

Maka HARAPAN Johor harus bertindak 'bagai menghela rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berserak.'


MAHDZIR IBRAHIM ialah pengarah pendidikan politik DAP Johor, penggiat seni budaya dan seorang pelukis.

Rencana ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS