Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ekonomi negara tak seindah digambarkan, kata Ngeh

Anggota Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham mendakwa kerajaan persekutuan memberikan gambaran palsu bahawa perdagangan antarabangsa dan ekonomi Malaysia meningkat.

Kata Ngeh, hakikat sebenarnya adalah ekonomi dan perdagangan negara merosot dengan drastik dalam tempoh 2013 hingga 2016.

Ngeh berkata ia sekali gus membuktikan bahawa ekonomi Malaysia bukanlah seindah yang digambarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan Umno-BN.

"Kerajaan Persekutuan BN telah mengelirukan rakyat dengan merujuk jumlah perdagangan dalam ringgit, yang telah jatuh nilai 49.3 peratus berbanding USD dalam tempoh tersebut untuk memberikan gambaran bahawa jumlah perdagangan antarabangsa Malaysia meningkat," kata Ngeh dalam sidang media di bangunan parlimen, hari ini.

Perdagangan antrabangsa dijalankan dalam mata wang Dolar Amerika (AS$).

Kadar pertukaran mata wang Ringgit Malaysia telah merosot daripada AS$1.00 bersamaan RM3.00 pada Januari 2013 kepada AS$1.00 bersamaan RM4.48 pada 30 Disember 2016.

Mengambil contoh eksport Malaysia, Ngeh berkata jumlah tersebut sebenarnya merosot tetapi kelihatan meningkat apabila dirujuk dalam Ringgit Malaysia.

"Sekiranya Malaysia mengeksport 10 kontainer barangan dagangan pada tahun 2013 dengan harga AS$1,000 satu kontainer, nilai eksport tersebut adalah AS$10,000 atau RM30,000.

"Akan tetapi, jika eksport Malaysia menurun sebanyak 10 peratus pada tahun 2016, Malaysia hanya akan dapat 9 kontainer barangan dagangan dengan harga yang sama iaitu AS$1,000 sekontainer dan kita akan dapat AS$9,000 sahaja tetapi nilai dalam Ringgit Malaysia akan mencatatkan satu peningkatan iaitu sebanyak RM40,320," tegas Ngeh.

Mengulas lanjut Ngeh berkata, hal ini jelas menunjukkan kerajaan persekutuan tidak jujur kerana mencerminkan jumlah perdagangan antarbangsa semakin meningkat tetapi hakikatnya adalah sebaliknya.

Tambah Ngeh, adalah penting untuk kerajaan sedar bahawa ekonomi Malaysia semakin merosot tetapi harga barangan dan perkhidmatan meningkat.

Akibatnya menurut beliau, rakyat Malaysia sedang menderita dan kerajaan mesti berhenti daripada terus menafikan hakikat sebenar.

 

Lihat Komen
ADS