Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Peratus belanja kesihatan M'sia dari KDNK terendah dalam dunia

Anggota parlimen Klang Charles Santiago menggesa Putrajaya menyediakan peruntukkan tambahan sebanyak RM20.7 bilion untuk perbelanjaan penjagaan kesihatan supaya kos perubatan boleh menjadi lebih murah.

Charles berkata peruntukan tambahan untuk perbelanjaan tersebut boleh direalisasikan dengan memindahkan RM12.4 bilion dari Jabatan Perdana Menteri dan RM8.3 bilion dari Kementerian Pertahanan.

"Ini akan memberi suntikan sebanyak RM20.7 bilion kepada peruntukan belanjawan Kementerian Kesihatan sedia ada, selaras dengan cadangan tujuh peratus oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)," kata Charles dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2018 memperuntukkan RM27 bilion bagi bekalan ubat-ubatan dan RM1.6 bilion untuk barangan guna habis dan sokongan perubatan.

Sebanyak RM1.4 bilion diperuntukkan bagi menaik taraf dan menyelenggara kemudahan kesihatan di tiga hospital iaitu Hospital Muar, Banting dan Balik Pulau.

Perdana menteri berkata RM10 juta bagi menampung kos perubatan untuk rawatan penyakit langka yang kian meningkat dan RM30 juta disediakan bagi program Komuniti Sihat Perkasa Negara (Kospen) ke arah kesedaran mengenai kesan penyakit tidak berjangkit di 10,000 kawasan seluruh negara.
 

Mengulas lanjut, Charles menegaskan bahawa penjagaan kesihatan yang berpatutan untuk rakyat Malaysia amat penting.
 

Beliau memetik Menteri Kesihatan Datuk Seri S Subramaniam sebagai berkata bahawa 39 peratus perbelanjaan penjagaan kesihatan swasta adalah "keluar dari saku".
 

"Oleh itu, tujuan pemindahan dana adalah untuk memastikan Kementerian Kesihatan mempunyai wang yang mencukupi untuk memberikan akses kepada ubat yang berpatutan untuk semua rakyat Malaysia.

Pada masa ini, perbelanjaan penjagaan kesihatan kerajaan berada pada empat peratus daripada KDNK negara, kata Santiago, sambil menunjukkan bahawa negara jiran seperti perbelanjaan penjagaan kesihatan Kemboja dan Vietnam terdiri daripada 5.7 peratus dan 7.1 peratus daripada KDNK masing-masing.

"Malah, Malaysia mempunyai perbelanjaan kesihatan terendah kepada KDNK di dunia," katanya.

Bagaimanapun, beliau memuji usaha Putrajaya dalam mengurangkan harga ubat sofosbuvir untuk pesakit hepatitis C, di mana pesakit boleh mendapatkan rawatan dengan jumlah serendah RM500 di hospital awam.

Oleh itu, saya menyeru anggota parlimen untuk menyokong langkah itu dengan mendorong kerajaan memperuntukkan tujuh peratus daripada KDNK untuk penjagaan kesihatan, tambah Charles.

Lihat Komen
ADS