8,900 polis, PVR siap sedia hadapi PRU14

   

Seramai 8,900 pegawai dan anggota Polis Kontinjen Perak akan ditugaskan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang, kata Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 500 daripadanya adalah anggota pasukan sukarelawan polis (PVR) yang akan membantu polis Perak memastikan ketenteraman dan keselamatan sepanjang proses pilihan raya berjalan lancar.

Katanya setakat ini pihaknya sudah bersiap sedia pada tahap 95 peratus, termasuk menjalani latihan dalamlima fasa persediaan bagi menghadapi PRU14 yang bakal berlangsung pada bila-bila masa sahaja.

"Kita baharu selesai fasa pertama latihan pilihan raya dan akan menjalani latihan bagi fasa kedua tidak lama lagi. Latihan itu akan diadakan berulang kali hinggalah tarikh pilihan raya ditetapkan oleh kerajaan.

"Tujuan kita mengadakan latihan ini adalah bagi mengenal pasti dan menambah baik persiapan pilihan rayadalam aspek pengurusan, logistik dan sistem telekomunikasi supaya berada dalam keadaan terbaik dan mencukupi," katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Kontinjen Perak di Ipoh hari ini.

Sementara itu, Hasnan berkata sebanyak 46 tangkapan telah dibuat ke atas pegawai dan anggota yang melakukan pelbagai kesalahan bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

Beliau berkata ia mencatatkan penurunan berbanding 61 tangkapan atau 24.6 peratus bagi tempoh sama tahun lepas.

Antara kategori kesalahan yang direkodkan membabitkan pegawai dan anggota polis adalah kes jenayah, rasuah, syariah, memiliki dan positif dadah.

"Kita amat memandang serius perkara ini dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggota serta tindakan tegas akan dikenakan terhadap mereka yang didapati melakukan kesalahan," katanya.

-Bernama

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

VOIZ

Berita Terhangat