Exco: Projek tebatan banjir skala besar t'jawab persekutuan

   

Peruntukan untuk rancangan tebatan banjir berskala besar adalah tanggungjawab kerajaan persekutuan, kata exco kerajaan negeri Pulau Pinang.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir negeri Chow Kon Yeow berkata sehubungan itu berikutan kejadian banjir besar di Pulau Pinang minggu lepas, kerajaan negeri sekali lagi telah mengemukakan permohonan kepada kerajaan persekutuan untuk menyelesaikan masalah banjir di negeri ini.

Sebanyak 13 projek dengan peruntukan RM1 bilion telah dibentang kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa lawatan beliau ke negeri ini Selasa lepas, kata Chow ketika menggulung perbahasan Bajet 2018 Pulau Pinang pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Beliau berkata peruntukan yang diminta itu adalah bagi melaksanakan projek-projek tebatan banjir Teluk Kumbar; Teluk Bahang; Pondok Upeh; Sungai Junjung; Parit 4; Parit Raja Uda; Sungai Kecil; Kawasan Perindustrian Perai; Lembangan Sungai Perai; Lembangan Sungai Juru; Lembangan Sungai Jawi; Bayan Lepas; dan Lembangan Sungai Pinang.

”Pelaksanaan projek-projek itu akan memberi impak yang besar dalam menangani masalah banjir di negeri ini. Justeru saya amat berharap kerajaan persekutuan akan mempertimbangkan permohonan ini dan memberi keutamaan dalam meluluskan projek-projek itu,” katanya.

Chow berkata bagi pihak kerajaan negeri pula, antara pelan jangka panjang yang dirancang dan dilaksanakan ialah projek rancangan tebatan banjir Sungai Pinang dengan kos RM150 juta di bawah peruntukan persekutuan dan sembilan projek tebatan banjir di bawah peruntukan kerajaan negeri berjumlah RM150 juta.

Satu lagi langkah yang dilaksanakan ialah menjalankan Kajian Pelan Induk Saliran bagi semua daerah di negeri ini dan setakat ini dua kajian telah siap iaitu bagi daerah Seberang Perai Tengah dan Barat Daya, katanya.

Beliau berkata pelan induk saliran itu akan menjadi garis panduan dalam merancang sistem saliran dan meluluskan pembangunan baharu serta merupakan garis panduan kepada pemaju dan jurutera perunding dalam merancang pembangunan baharu, katanya.

Mengenai sistem amaran awal banjir, Chow berkata sistem Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) Pulau Pinang akan dilaksanakan mulai Jun tahun depan sehingga 2022 melibatkan enam lembangan sungai iaitu Sungai Pinang, Sungai Kerian, Sungai Muda, Sungai Juru, Sungai Perai dan Sungai Jawi.

Sistem PRABN yang diperkenalkan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar akan memberi amaran banjir lebih awal iaitu tujuh hari sebelum banjir dijangka berlaku dan amaran banjir seawal dua hari berbanding sekarang iaitu enam jam sebelum banjir.

 

-Bernama

 

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

VOIZ

Berita Terhangat