'DBP boleh buat apa saja untuk daulatkan bahasa'

   

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) diberikan kebenaran untuk melakukan apa sahaja bagi mendaulatkan bahasa kebangsaan selagi tidak melanggar undang-undang, kata Datuk Seri Nazri Aziz.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu berkata DBP diberikan tugas untuk menjaga kedaulatan dan bahasa kebangsaan.

"Jadi mereka boleh buat apa mereka suka asalkan dalam konteks mereka tidak melanggar mana-mana undang-undang.

"Bahasa itu jiwa bangsa, dikenali sebagai bahasa kebangsaan.

"Saya tidak mahu bahasa kebangsaan ini diletakkan sebagai bahasa yang dipinggirkan," katanya dalam sidang media selepas Majlis Pra Pelancaran Festival Kraf Antarabangsa Kuala Lumpur (KLICF) 2017, di bangunan Parlimen, hari ini.

Nazri berkata demikian mengulas langkah DBP mengenakan denda RM1,000 kepada mana-mana individu yang didapati bersalah menggunakan Bahasa Malaysia yang tidak betul termasuk iklan dalam talian tidak lama lagi sekiranya pindaan kepada Akta Bahasa Kebangsaan 1963 dan Akta Pendidikan 1996 diluluskan di Parlimen.

Difahamkan langkah itu telah dipersetujui secara prinsip oleh Putrajaya.

Mengulas lanjut, anggota parlimen Padang Rengas itu berkata ada sebab mengapa DBP bertindak sedemikian.

"Ini bahasa kebangsaan tidak ada mana-mana wilayah dalam negara ini boleh tidak menghormati bahasa kebangsaan.

"Jadi kalau mereka sampai ke tahap itu (saman) maknanya orang Malaysia tak menghormati bahasa kita.

"Saya punya pendapat kalau mereka dah buat (denda) maknanya jalan terakhirlah itu," kata Nazri.

 

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

VOIZ

Berita Terhangat